Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam telah menerima lawatan rasmi daripada Ketua Turus Angkatan Bersenjata Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Jeneral Romeo Saturnino Brawner Jr., hari ini.
Sejurus tiba di Bolkiah Garison, TYT Jeneral Romeo Saturnino Brawner Jr, telah disambut oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan seterusnya menerima Tabik Hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB).
TYT Jeneral Romeo Saturnino Brawner Jr., kemudiannya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Semasa kunjungan itu, kedua-dua pihak menzahirkan penghargaan terhadap hubungan pertahanan yang kukuh dan berterusan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan geopolitik yang berkepentingan bersama.
Yang Berhormat Pehin turut menekankan kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama melalui latihan bersama, perkongsian kepakaran serta pertukaran lawatan antara kedua-dua Angkatan Tentera.
Terdahulu, TYT Jeneral Romeo Saturnino Brawner Jr., telah mengadakan Kunjungan Muhibah ke atas Pemerintah ABDB yang mana beliau menyampaikan ucapan penghargaan di atas sokongan dan kerjasama diberikan oleh ABDB dalam memantapkan hubungan erat yang sedia terjalin di antara kedua-dua Angkatan Tentera, di samping menegaskan komitmen Angkatan Bersenjata Republik Filipina untuk terus mempertingkatkan kerjasama ini.
Sepanjang berada di Negara Brunei Darussalam, TYT Jeneral Romeo Saturnino Brawner Jr, turut dijadualkan mengunjungi beberapa unit di bawah ABDB serta melawat pusat-pusat kebudayaan dan tempat-tempat bersejarah di negara ini.
TYT Jeneral Romeo Saturnino Brawner Jr, berada di Negara Brunei Darussalam dari 14 hingga 16 Oktober.
Semua di atas: Antara suasana semasa lawatan tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH JAMES KON

