Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kem TDM Sabah, Sarawak dapat manfaat peruntukan khas

    KUCHING, 28 JULAI – Kesemua kem Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sabah dan Sarawak yang telah dikenal pasti usang akan mendapat manfaat daripada peruntukan khas RM110 juta bagi penyelenggaraan bangunan uzur dan rumah anggota mereka.

    Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Lt Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata peruntukan berkenaan turut diagihkan kepada Satu Divisyen bagi memperbaiki, menambah baik serta menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan bangunan penginapan.

    “Keadaaan (kemudahan) pada masa ini kita akan pertingkatkan kerana peruntukan itu perlu dibelanjakan tahun ini. Kita juga akan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan RKAT melibatkan pemerintahan medan timur yang kita sudah kenal pasti usang, jadi kita akan mempertingkatkan keadaaan,” katanya.

    Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini, beliau berkata pihaknya sudah memajukan permohonan jumlah peruntukan yang diperlukan Markas Pemerintahan Medan Timur untuk pertimba-ngan jawatankuasa pembangunan di peringkat Tentera Darat.

    “Saya yakin permohonan yang kita majukan kepada pihak Panglima Tentera Darat (Jen. Tan Sri Mohammad Ab Rahman) itu akan diberi perhatian sebab kita dah tapis RKAT, fasiliti dan kemudahan yang terdapat dalam kem-kem terlibat,” katanya.

    Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebanyak 448 projek baik pulih serta penyelenggaraan bangunan uzur dan rumah anggota ATM akan dilaksanakan menerusi peruntukan tambahan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Julai lepas. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg (kanan) menerima cenderahati daripada Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Lt Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi ketika melakukan kunjungan hormat ke Pejabat Premier Sarawak Bangunan Baitul Makmur. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda