LOS ANGELES, 7 Nov – Mereka yang sedang berjuang dalam situasi sosial, mungkin mempunyai risiko lebih tinggi berdepan masalah kesihatan mental dan fizikal, lapor agensi berita China Xinhua, menurut kajian terbaharu University Arizona (UA).
“Kita telah lama mengetahui bahawa kemahiran sosial juga dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kecemasan.
“Tetapi kita tidak tahu secara pasti bahawa kemahiran sosial juga menyumbang kepada kesihatan fizikal yang lebih buruk,” kata ketua Jabatan Komunikasi UA, Chris Segrin yang juga penulis kajian berkenaan. Beliau berkata, mereka yang mempunyai kemahiran sosial yang lemah, mempunyai tahap tekanan dan kesunyian lebih tinggi dalam kehidupan.
Kemahiran sosial didefinisikan sebagai tingkah laku yang bersesuaian untuk berinteraksi di rumah, sekolah dan bersama masyarakat.
Ia juga merujuk sebagai keupayaan sosial individu yang mampu mencapai kejayaan tanpa menggangu orang lain. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Komunikasi Kesihatan itu, berdasarkan tinjauan membabitkan 775 responden, berumur 18 hingga 91 tahun. Responden diminta menjawab secara dalam talian soalan mengenai ukuran kemahiran sosial, tekanan, kesepian serta kesihatan mental dan fizikal. Kaji selidik itu antara lain menumpukan kepada empat petunjuk kemahiran sosial khusus, termasuk keupayaan untuk memberikan sokongan emosi kepada orang lain; pendedahan diri, atau keupayaan untuk berkongsi maklumat peribadi dengan orang lain. – Bernama