ADDIS ABABA – Di sebalik alat tenun sebuah bengkel di tengah-tengah Addis Ababa, berpuluh-puluh penenun dengan cekap mengulangi gerakan yang sama untuk menghasilkan pakaian tradisional, kemahiran berusia berabad-abad yang kini diancam oleh kemelut ekonomi Etiopia.
Sejak turun-temurun, ‘habesha kemis,’ gaun kapas putih panjang yang sering dihiasi dengan sulaman berwarna-warni, telah ditenun dengan tangan. Corak mereka yang rumit itu telah mendorongnya dijadikan sebagai pakaian untuk perayaan dan upacara keagamaan.
Ia mengambil masa seminggu untuk menenun pakaian yang paling ringkas, dan dua kali lebih lama bagi gaun yang dihiasi dengan sulaman yang rumit, kraf yang memerlukan kerja yang dibuat dengan amat teliti dan cermat, kata beberapa tukang dalam bengkel di mana bunyi dentingan alat tenun yang berterusan memenuhi udara.
“Kerja itu meletihkan… kami hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” kata Asefaw Yemu, 45, seorang penenun yang berpengalaman selama tiga dekad yang memperoleh pendapatan antara 10,000 dan 15,000 birr (AS$68-102) sebulan, sebelum menolak kos bahan mentah.
Di dalam bilik yang bercahaya malap, lelaki membongkok di depan alat tenun mereka, menenun benang kapas ke sana ke mari ketika kaki mereka menggunakan sistem pedal yang kompleks yang nampaknya tidak pernah berehat.
Asefaw berkata dia bekerja sembilan jam sehari, enam hari seminggu, tetapi dengan inflasi mencecah sekitar 21.5 peratus tahun ini, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, permintaan telah menjadi perlahan dengan ketara.





TIADA MASA DEPAN
Kira-kira 39 peratus daripada 130 juta penduduk Etiopia hidup di bawah garis kemiskinan, iaitu kurang daripada AS$3 sehari, pada 2021, angka yang diunjurkan oleh Bank Dunia akan meningkat kepada 43 peratus tahun ini.
Di bengkel yang sama, Getu Derza, 48, berhati-hati menyulam benang sutera berwarna-warni menjadi corak yang rumit.
“Apa yang kami hasilkan dengan begitu banyak usaha kini boleh dibuat serta-merta oleh mesin di kilang… Ia menjejaskan pendapatan kami,” kata Derza, yang memulakan kraf itu pada usia 14 tahun.
Kemasukan habesha kemis buatan mesin yang lebih murah dari China pada tahun lalu menjejaskan penenun tradisional Etiopia. Sekatan kerajaan diperkenalkan terlalu lambat untuk ramai penenun, yang telah beralih kepada pekerjaan lain.
Dalam ekonomi yang bergelut ini, Derza berkata apa yang dahulunya merupakan kemahiran yang diturunkan dari generasi ke generasi kini ‘berakhir dengan kita.’
Pada usia 23 tahun, Abush Dubule, yang paling muda dalam kalangan penenun, sudah mempertimbangkan untuk menukar kerjaya.
“Tidak adanya masa depan,” katanya. “Ekonomi tidak seperti dahulu… ia bukan hanya produk China. Orang ramai kurang membeli secara keseluruhan.”
MOMEN ISTIMEWA
Habesha kemis boleh menelan kos beberapa ratus euro, jumlah yang besar di Etiopia.
Belhu Belta, 48, mengusahakan sebuah kedai kecil yang menjual pakaian tradisional dan tudung.
Katanya, dia bergelut untuk menarik pelanggan akan tetapi kekal bertahan dalam perniagaan, berharap masih ada mereka yang menghargai pakaian buatan tangan.
“Jika pasaran berterusan seperti ini, kraf itu mungkin hilang,” kata Belhu.
Adanech Daniel, 50, membeli-belah untuk gaun pengantin dan enggan berkompromi dengan kualiti, mewakili jenis pelanggan yang memastikan Belta tetap berasa optimis.
“Apabila awda memakai pakaian tradisional ini bersama-sama sebagai keluarga atau pasangan, ia membawa kemeriahan dan kegembiraan pada majlis itu,” katanya.
“Ia cantik, ia berkilauan dan menjadikan masa itu istimewa.” – AFP

