Kemajuan fizikal dan spiritual perlu seiring

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa bangsa merdeka perlu mengikut perkembangan dan mencipta kemajuan di mana kemajuan itu terbahagi kepada dua iaitu kemajuan fizikal dan kemajuan spiritual.

“Kemajuan fizikal dicapai dengan teknologi dan tulang empat kerat, sementara kemajuan spiritual pula digarap dengan belajar dan praktikal ibadat.

“Inilah cara kita mengisi kemerdekaan, iaitu dengan menjana kemajuan fizikal, sejajar dengan kemajuan spiritual, kedua-duanya mesti berjalan seiring untuk memenuhi tuntutan negara.

“Maka untuk itu, kita perlu memiliki modal insan yang gigih dan berkualiti, yang berpendidikan duniawi dan ukhrawi serta mampu untuk menangani segala cabaran,” titah Baginda dalam Titah Perutusan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, Tahun 2021 yang disiarkan di saluran radio dan televisyen ke seluruh negara, hari ini.

Terdahulu Baginda Sultan bertitah bahawa walaupun keadaan berbeza, namun Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini masih saja dapat dilangsungkan dengan izin Allah.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto

“Ini juga adalah nikmat untuk disyukuri. Kita jangan lupa, Sambutan Hari Kebangsaan bukan untuk berpesta semata-mata, tetapi untuk mengenang dan memahami akan harga kemerdekaan, bahawa kemerdekaan itu bukan benda yang dibeli tetapi bulat-bulat datangnya daripada Allah SWT,” titah Baginda lagi.

Baginda seterusnya bertitah bahawa kemerdekaan, mengenalkan kita kepada banyak perkara, antaranya bagaimana untuk membangun diri dan negara.

“Misalnya, daripada malas kepada rajin, daripada lambat kepada cepat dan daripada mundur kepada maju. Inilah ‘matlamat’ utama yang perlu dituju oleh bangsa merdeka.”

Baginda seterusnya menekankan bangsa yang merdeka tidak boleh lalai atau lambat bertindak, kerana persekitaran bukan statik, tetapi cepat berubah, dan perubahan itulah namanya perkembangan. Dalam mengakhiri titah perutusan itu, Baginda merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta dan petugas serta ahli-ahli jawatankuasa yang sama-sama terlibat dalam menjayakan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 pada tahun ini.

“Beta juga merakamkan ucapan yang sama kepada semua lapisan rakyat, termasuk warga Perkhidmatan Awam, sama ada yang bertugas di dalam mahupun luar negara, pasukan-pasukan keselamatan, para sukarelawan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta dengan iringan doa, semoga kita dan negara akan sentiasa berada di dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah jua.”