Kemajuan infrastruktur Negara demi kesejahteraan rakyat

Oleh Syahmi Hassan

Seiring dengan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-36 tahun, pelbagai perkembangan dan kemajuan negara dari pelbagai aspek telah dapat disaksikan melalui infrastruktur dan prasarana yang telah dan sedang diusahakan demi memberikan kehidupan rakyat Negara Brunei Darussalam dalam keadaan aman damai serta harmoni.

Pembinaan mega Jambatan Temburong

Pembinaan Jambatan Temburong yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini setentunya akan menjadi penghubung di antara Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong serta menjadi mercu tanda pemodenan negara.

Projek besar itu mencerminkan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kebajikan rakyat dan penduduk negara ini dan akan membolehkan pengguna untuk membuat perjalanan dengan lebih mudah tanpa perlu melalui empat pos pemeriksaan imigresen yang sering berada dalam keadaan sesak sekali gus memendekkan masa perjalanan di antara kedua-dua buah daerah.

Penduduk negara ini khasnya mereka yang tinggal di Daerah Temburong selama ini menyeberang ke Daerah Brunei dan Muara melalui jalan sungai yang memakan masa kira-kira 45 minit atau melintasi daerah negara jiran, Limbang, Sarawak.

Apabila jambatan itu siap nanti, sudah pasti banyak perubahan ketara akan nampak dilihat terutama sekali dari segi penghijrahan penduduk dan perekonomian, di samping akan menarik lebih ramai pelancong melawat ke negara ini dan berkunjung ke Temburong.

Pembinaan mega Jambatan Temburong yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini akan menjadi penghubung di antara Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong serta menjadi mercu tanda pemodenan negara. – Gambar fail oleh Muiz Matdani
Antara kemajuan infrastruktur di Pulau Muara Besar bagi loji penapisan dan petrokimia yang berupaya mengeluarkan 165,000 tong sehari dan sedang dalam fasa pentauliahan serta akan beroperasi pada awal 2020. – Gambar fail oleh Infofoto

Selain itu, dengan adanya jambatan ini nanti ia akan dapat memudahkan penduduk Temburong untuk membawa hasil-hasil mereka ke Bandar Seri Begawan dan akan terdapat banyak lagi prasarana yang dapat disediakan di Daerah Temburong.

Jambatan Temburong ini dibina merentasi Teluk Brunei dari Jalan Utama Mentiri di Daerah Brunei dan Muara dan dihubungkan ke Jalan Labu Estet di Daerah Temburong. Sepanjang jambatan itu nanti, kenderaan yang melalui jambatan tersebut akan dapat melihat pemandangan seperti Sungai Brunei dan hutan-hutan tropika.

Dengan ukuran kira-kira 30 kilometer, ia akan menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara dengan lebuh raya dua hala yang disokong oleh kabel dengan reka bentuk unik dan menarik.

Dengan adanya jambatan tersebut nanti, piawaian belia-belia di Temburong pasti akan berubah kerana peluang untuk menjalankan perniagaan dapat dilakukan dengan mudah kerana bertambahnya bilangan pengunjung dan pembeli, sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara Brunei Darussalam, sejajar dengan matlamat Wawasan 2035.

Penyatuan rangkaian Berikutan pengumuman

transformasi industri telekomunikasi oleh Darussalam Assets Sdn Bhd pada Februari 2019 bahawa Unified National Networks Sdn Bhd (UNN) adalah entiti baharu yang beroperasi, memodenkan dan memiliki infrastruktur rangkaian telekomunikasi bersepadu Negara Brunei Darussalam.

UNN adalah sebuah orga-nisasi yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan serupa dengan syarikat telekom lain, ia diiktiraf sebagai syarikat berkaitan kerajaan di bawah Darussalam Assets Sdn Bhd, pemegang saham UNN.

Ditubuhkan pada Disember 2018, tujuan UNN adalah berkhidmat dengan telekomunikasi digital Brunei Darussalam, yang menawarkan perkhidmatan borong telekomunikasi kepada pelanggan kebangsaan dan antarabangsa. Sebagai sebahagian daripada program transformasi sektor ICT Brunei, pasukan pengurusan kanan UNN telah direkrut oleh Deutsche Telekom Group, rakan teknik UNN, untuk menerajui syarikat itu sebelum menyerahkan kepada pengurusan Brunei sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

Sejak penubuhan UNN, ia telah mencapai pelbagai pencapaian, antara lain termasuk pengambilalihan dan pemindahan semua infrastruktur dan aset rangkaian yang dikendalikan dan dimiliki oleh syarikat telekomunikasi sedia ada, termasuk Telekom Brunei Berhad (TelBru), Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) dan Brunei International Gateway Sdn Bhd (BIG) dalam usaha untuk menyatukan semua rangkaian untuk memberikan perkhidmatan yang berdaya tahan dan berkualiti kepada seluruh negara.

Perniagaan UNN sejajar dengan visi dan misi mereka yang bertujuan untuk mewujudkan platform digital moden dan cekap untuk menyokong Wawasan Brunei 2035 dan perjalanan transformasi ICT. Ia termasuklah teknologi 5G dan Internet of Things (IoT).

Sebagai pembekal perkhidmatan borong, UNN membuka jalan untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan dan meluaskan rangkaian dengan teknologi terkini. Bersama dengan pihak berkepentingan, mereka akan mencipta bersama inovasi untuk infrastruktur dan perkhidmatan di Negara Brunei Darussalam. Di samping itu, syarikat telekomunikasi juga menawarkan pakej menarik kepada pengguna dan menembusi pasaran dalam persaingan yang adil.

Organisasi tersebut komited sepenuhnya untuk membangunkan dan memperkasakan inisiatif Brunei sebagai sebuah Negara Pintar dan menyokong bakat di semua segmen, serta percaya bahawa dengan memodenkan infrastruktur rangkaian dan melabur dalam teknologi baru, mereka dapat meningkatkan kualiti dan pelbagai perkhidmatan yang disediakan di negara ini, dengan kemampuan dan akses yang lebih baik.

Peningkatan sektor minyak dan gas

Industri minyak dan gas yang sudah wujud di negara ini sejak 90 tahun yang lalu terus kekal kukuh dan relevan pada masa akan datang dengan sektor hiliran dan perkhidmatannya terus berkembang.

Dalam sektor huluan, usaha sedang dijalankan untuk menghidupkan atau memperbaharui infrastruktur hidrokarbon negara dengan menerokai dan melaksanakan pembangunan laut dalam sehingga 2,000 meter yang akan membuka bab baharu dan menjana lebih banyak peluang dalam sektor tenaga negara.

Pada masa sama, negara juga sedang menerajui program penyahtaraan dan pemulihan aset lama.

Brunei berada dalam situasi yang unik dan amat mencabar di mana negara sedang melaksanakan kesemua fasa dalam kitaran penuh projek pembangunan hidrokarbon pada masa yang serentak iaitu daripada penerokaan, pembangunan, operasi, pemulihan aset, peningkatan pemulihan dan penyahtaraan serta pemulihan.

Dalam sektor hiliran, pembinaan loji gas asli cecair (LNG) berskala dunia dengan kapasiti enam juta tan setahun telah bermula pada 1969 dan selepas 50 tahun, Brunei LNG terus menjadi salah satu pembekal LNG yang boleh dipercayai di dunia.

Di samping itu, loji metanol dengan pengeluaran 0.8 juta tan setahun telah beroperasi sepenuhnya pada 2010 dan pada masa ini, loji ammonia dan urea sedang dibina di Sungai Liang dengan keupayaan mengeluarkan 1.2 juta tan ammonia atau urea setahun yang akan beroperasi pada 2021.

Pada masa yang sama, pembinaan loji penapisan dan petrokimia di Pulau Muara Besar yang berupaya mengeluarkan 165,000 tong sehari telah siap dibina dan sedang dalam fasa pentauliahan serta akan beroperasi pada awal 2020.

Terdapat perancangan untuk meneruskan fasa kedua kompleks penapisan dan petrokimia Pulau Muara Besar yang akan meningkatkan keupayaan penapisan kepada 500,000 tong sehari di mana ia akan menjadikannya salah satu daripada kompleks terbesar di rantau ini.

Pelaburan keseluruhan bagi projek-projek hiliran baharu iaitu metanol, urea dan PMB fasa 1 dan 2 dianggarkan berjumlah $20 bilion dan apabila siap sepenuhnya, ia akan memacu pembangunan industri hiliran negara.

Menyentuh mengenai sektor perkhidmatan, dengan pelaburan yang besar dalam industri hulu dan hiliran, terdapat banyak peluang bagi syarikat-syarikat tempatan negara untuk membangunkan keupayaan mereka untuk bukan sahaja menawarkan perkhidmatan mereka kepada industri di Negara Brunei Darussalam tetapi juga serantau.

Perkara asas bagi semua usaha itu adalah pembangunan modal insan di mana pada masa ini, terdapat seramai kira-kira 20,000 orang yang berkhidmat dalam sektor minyak dan gas.

Dengan pertumbuhan dalam sektor huluan dan sektor perkhidmatan serta hiliran, semasa fasa operasi, akan memerlukan 15,000 orang lagi untuk berkhidmat dalam sektor berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perkembangan dalam teknologi digital juga akan merubah cara menjalankan industri dan oleh itu, pendekatan baharu serta pembangunan modal insan yang lebih komprehensif diperlukan untuk menyokong lagi pertumbuhan industri minyak dan gas.