Thursday, October 10, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemajuan negara seiring pemerintahan 50 tahun

    Oleh Haniq Raffael

     

    SEPANJANG 50 tahun Baginda Sultan berada di takhta singgahsana kerajaan begitu banyak perubahan yang ketara berlaku di sekitar Bandar Seri Begawan yang dahulunya sunyi dari sebarang pembangunan namun kini sudah banyak perubahan.

    Malahan perubahan tersebut sudah banyak kita saksikan sendiri dengan muncul dan terbinanya banyak bangunan-bangunan kerajaan dan swasta serta premis-premis perniagaan yang menjadi tarikan para pelancong luar negara.

    Di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pembangunan negara kian terserlah dengan kepelbagaian kemudahan yang kita rasai selaku rakyat dan penduduk di negara bumi bertuah ini.

    Baginda Sultan telah menaiki takhta pada 5 Oktober, 1967 dan berjaya membawa Negara Brunei Darussalam ke arena kemajuan dalam berbagai bidang di mana rakyat dan penduduknya hidup dalam aman damai, sejahtera lagi makmur sebagaimana yang sedang dinikmati dewasa ini. Baginda Sultan juga telah berjaya menempatkan Negara Brunei Darussalam berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di kalangan negara-negara yang sama-sama merdeka dan berdaulat di dunia.

    Kewibawaan dan kebijaksanaan atas kepimpinan Baginda Sultan yang telah membawa Negara Brunei Darussalam mencapai matlamat-matlamatnya dengan lancar dan selamat dengan tidak perlu melalui rintangan-rintangan besar. Sebarang masalah sampingan semuanya itu dapat diurus dan diselesaikan dengan baik berasaskan semangat muafakat dan persefahaman yang ikhlas.

    Sambutan Jubli Emas kali ke-50 tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta yang mana telah diadakan baru-baru ini di ibu kota, Bandar Seri Begawan. Gambar Sim Y.H.

    Pemerintahan beraja yang diwarisi sejak zaman-berzaman telah berhasil menciptakan kebahagiaan dan keunggulan untuk negara tercinta ini.

    Dalam konteks ini hubungan raja dan rakyat bukanlah semata-mata berasaskan tradisi antara yang memerintah dengan yang diperintah, tetapi juga dijalin oleh tanggungjawab secara timbal balik dalam makna sama-sama menunaikan amanah Allah Ta’ala menurut batas-batas yang diredaiNya.

    Sepanjang 50 tahun Baginda Sultan memerintah negara, kita begitu beruntung dan merasa bertuah dengan adanya pelbagai perubahan kemajuan dan kemodenan yang di kecapi rakyat dan penduduk negara ini.

    Ini jelas terbukti dengan perubahan yang dicapai Bandar Seri Begawan sebagai ibu kota bagi Negara Brunei Darussalam, ia menjadi pusat pentadbiran negara yang berdaya maju di samping masih mengekalkan tradisi dan warisan masyarakatnya yang sangat tinggi nilainya.

    Mercu tanda negara

    Salah satu perkembangan yang terbesar yang dapat kita nikmati bersama ialah dengan adanya pembinaan jambatan pertama ‘Cable Stayed Bridge’ di negara ini.

    Jambatan sepanjang 300 meter menyeberangi Sungai Brunei ini merupakan salah satu mercu tanda Negara Brunei Darussalam khususnya di mata dunia apatah lagi ia tersergam indah di kawasan yang amat strategik iaitu di kawasan Kampong Ayer.

    Selaku rakyat Negara Brunei Darussalam,kita seharusnya berbangga kerana jambatan ini bukan sahaja satu mercu tanda baru Negara kita.

    Apa yang begitu istimewa mengenai jambatan ini yang mana ianya direka bentuk berlandaskan calak keBruneian dengan menerapkan ciri-ciri keIslaman dan lambang kedaulatan Negara seperti bentuk panji-panji dan kubah replika dari kubah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien   diletakkan di atas struktur pylon setinggi 157meter.

    Reka bentuk ketinggian Pylon 157meter ini mengambil sukut tarikh keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu 15 Julai.

    Pada 20 Ogos 2016 merupakan detik bersejarah yang mana kedua-dua kawasan iaitu Bandar Seri Begawan dan Mukim Sungai Kebun, Mukim Lumapas dan sekitarnya yang terpisah telah pun disatukan dengan selesainya kerja-kerja   penyambungan (stitching) bahagian terakhir jambatan.

    Bandar Seri Begawan kini pesat membangun apatah lagi dengan pembinaan Jambatan baru Sungai Kebun yang mana telah menjadi tumpuan ramai. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Dalam waktu yang sama, pemasangan kubah di atas menara jambatan yang julung–julung kali dilaksanakan di negara ini juga selesai di laksanakan sekali gus melengkapkan struktur utama Jambatan Sungai Kebun. Cable stayed bridge ini dilengkapi dengan dua lorong dua hala atau ‘dualcarriageway’.

    Pembinaan sebuah terowong sepanjang 51meter sekali gus menambah keunggulan reka bentuk jambatan ini. Di   samping itu, terdapat juga keunikan reka bentuk yang digabungkan dengan pembinaan sebuah galeri di bawah jambatan bagi kegunaan acara-acara tertentu, kafe dan segala kemudahan disediakan bagi keperluan orang ramai yang berkunjung ke jambatan tersebut.

    Sementara itu, sebahagian daripada Kampung Sungai Siamas dan Kampung Pintu Malim juga terlibat dalam pembinaan jambatan moden ini dan mencatat satu lagi sejarah dan membuka lembaran baru kepada penduduk Kampong Ayer.

    Dengan terbinanya jambatan ini ianya bukan hanya sebagai satu kemudahan bagi rakyat dan penduduk di negara ini tetapi ianya sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan negara, sebenarnya Bandar Seri Begawan berupaya dan mampu dijadikan sebagai pusat utama destinasi pelancongan kerana terdapat banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi tambahan lagi Bandar Seri Begawan merupakan ibu kota yang menyimpan pelbagai sejarah untuk ristaan generasi moden dan seterusnya.

    Juga menjadi harapan kita agar generasi kita yang akan datang akan sentiasa memastikan pembangunan negara kita ini berjalan selancar dan sesempurna yang diinginkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Bersempena dengan Sambutan Jubli Emas Ke-50 Tahun Baginda Sultan Menaiki Takhta marilah kita panjatkan doa dan kesyukuran buat raja dan pemerintah kita yang dihormati, disayangi dan disanjung oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam ini kerana dengan kebijaksanaan Baginda jugalah kita telah mampu menikmati segala kesempurnaan hidup hasil berkat pimpinan Baginda.

    Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta yang kita raikan secara penuh adat istiadat dan dengan penuh kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia rahmatNya yang tidak terhingga nilainya itu adalah suatu bukti perpaduan, muafakat dan kesetiaan rakyat kepada rajanya yang telah memimpin rakyat adil berdaulat, bijaksana dan memberikan kesejahteraan serta kebajikan kepada rakyat dan negara.

    ‘Taat Kepada Allah,

    Setia Kepada Raja

    dan Cinta Kepada Negara’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda