Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemajuan sektor pelancongan ke arah ekonomi mapan

    Oleh Imelda Groves HA

     

    WALAUPUN negara kita sebuah negara yang kecil, namun ia mempunyai banyak produk dan lokasi tarikan pelancong, sama ada wujud secara semula jadi ataupun yang dibina oleh manusia. Sektor pelancongan sebenarnya mempunyai potensi yang besar dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.

    Sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara. Hari ini,sektor pelancongan merupakan salah satu daripada punca pendapatan negara dan penduduknya.

    Sektor ini juga bukan sahaja dapat meningkatkan perekonomian negara malah mampu untuk memperkenalkan negara kita kepada dunia luar.

    Dalam meningkatkan sektor pelancongan, pelbagai usaha telah dibuat melibatkan individu persendirian dan pelbagai agensi yang berkenaan.

    Negara Brunei Darussalam memang terkenal dengan suasananya yang begitu damai dan masih banyak meliputi kehijauan hutannya sesuai untuk individu yang ingin melarikan diri buat seketika daripada kesibukan kota dan kesesakan lalu lintas.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menandatangani plak pelancaran Pusat Maklumat Pelancong.

    Oleh yang demikian, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk meletakkan peranannya kepada sektor pelancongan sebagai salah satu sektor yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mapan.

    Industri pelancongan di negara ini menunjukkan pertumbuhan yang baik dengan kadar pertumbuhan tahunan di antara 6 hingga 7 peratus berbanding pada tahun 2012.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bermatlamat untuk mempelbagaikan ekonomi dan pertumbuhannya dengan menjana peluang pekerjaan, mempromosikan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana serta juga mempromosikan pertumbuhan pelancongan domestik atau pelancongan dalam negeri.

    Peningkatan jumlah pelancong

    Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan negara ini, industri pelancongan Brunei dalam suku kedua 2017 menunjukkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei meningkat sebanyak 25.7 peratus iaitu seramai 65,747 orang pelancong berbanding seramai 52,292 orang pelancong pada suku kedua 2016.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan juga turut menjelaskan, dari segi pertumbuhan, ketibaan pelancongan bagi suku kedua 2017 pula telah menunjukkan prestasi positif dan mantap dengan peningkatan sebanyak 25.7 peratus dari tahun ke tahun.

    Ini adalah disebabkan oleh permintaan perjalanan dari tahun ke tahun, pasaran-pasaran utama dari suku tahun ini dengan peningkatan yang berterusan melalui perhubungan udara yang disebabkan oleh penerbangan secara bercatar dari pasaran Timur Jauh, penambahbaikan daripada kemudahan perjalanan dan pemulihan ekonomi global yang sederhana dari tahun lepas walaupun dengan persaingan serantau yang tinggi dari negara-negara jiran.

    Antara lima negara teratas yang datang ke Negara Brunei Darussalam bagi suku kedua 2017 adalah Malaysia disebabkan oleh kemudahan kemasukan melalui udara dan kedudukan berhampiran dengan sumbangan sebanyak 22.2 peratus diikuti dengan China yang menyumbang sebanyak 15.9 peratus, Indonesia sebanyak 9.3 peratus, Filipina sebanyak 11.2 peratus dan Singapura sebanyak 5.7 peratus.

    Secara keseluruhannya, lima negara teratas berkenaan telah menyumbangkan sebahagian besar kepada ketibaan pelancong antarabangsa ke negara ini sebanyak 64.4 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong pada suku kedua 2017.

    Komited maju ke hadapan

    KSSUP terus komited dalam usahanya untuk memperkembangkan lagi sektor pelancongan negara dengan menjana kesan pengganda menerusi penjanaan pekerjaan dan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam industri perkhidmatan pelancongan dan penghasilan produk.

    Muzium Alat Kebesaran Diraja yang baru dinaiktarafkan turut dilengkapi dengan kios maklumat tambahan berkaitan dengan alat-alat kebesaran diraja.
    Anugerah Hotel Hijau ASEAN yang diterima oleh Hotel Radisson adalah inisiatif ASEAN untuk mempromosikan pelancongan mapan di rantau ini menerusi amalan mesra alam sekitar dan pemuliharaan tenaga.

    Perkembangan itu dapat disaksikan dalam pembangunan bidang pengangkutan, gastronomi, penginapan, rekreasi, hiburan, industri kreatif, pelancongan dan sektor perniagaan di dalam industri pelancongan.

    Dalam Pelan Strategik KSSUP bagi 2016-2020, beberapa buah inisiatif telah dikenal pasti dan dilaksanakan termasuk meningkatkan kualiti prkhidmatan pelancongan dan produk-produk bagi pelancongan asas, baru dan produk berasaskan kegiatan pelancongan.

    Pembangunan pelancongan memerlukan kerjasama dan penyertaan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk komuniti setempat.

    Menerusi dialog dan kerjasama di antara pelbagai pihak yang berkepentingan, ia mampu menjana ekonomi hijau dan mapan termasuk mengurangkan pembaziran tenaga, pemuliharaan warisan budaya dan biodiversiti, pengurangan kemiskinan, mempromosikan kesaksamaan, meningkatkan kesejahteraan, melindungi sambil mempromosikan warisan alam semula jadi dan budaya serta mengukuhkan hubungan di antara masyarakat setempat yang amat berpengetahuan mengenai budaya-bio landskap di Brunei dan Asia Tenggara.

    Kelebihan saingan Brunei antaranya adalah lokasi Negara Brunei Darussalam yang terletak di pulau ketiga terbesar di dunia serta berada di tengah Asia Tenggara.

    Borneo juga adalah amat unik dengan merangkumi tiga buah negara ASEAN yang kaya dari segi sejarah, warisan dan sumber aslinya serta berpotensi untuk mempunyai pelancongan eko yang aktif dan sihat.

    Brunei sebagai sebahagian daripada Borneo berkongsi satu matlamat yang sama dan bekerjasama dengan dua buah negara utama di pulau berkenaan menerusi inisiatif Nadi Borneo.

    Nadi Borneo mempromosikan usaha untuk memperkasakan masyarakat setempat untuk mengurus pelancongan merentas dan dalam sempadan di mana ia memudahkan dan menjadikan pelancongan lebih menarik.

    Ke arah pelancongan cemerlang

    Pada 25 dan 26 Januari lalu, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN ke-21, Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN Tambah Tiga (ASEAN +3) ke-17 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN – India ke-6 bersempena Forum Pelancongan ASEAN 2018 (ATF) yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand.

    Semasa forum berkenaan, menteri-menteri yang bersidang mengambil maklum mengenai dengan perkembangan dalam pelaksanaan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2016-2025 dengan 15 aktiviti utama di bawah Pelan Kerja bagi 2016-2017 telah diselesaikan.

    Kapal persiaran MV Sentosa telah memudahkan para pelancong bagi menikmati pemandangan indah di sekitar Sungai Brunei.
    Kehijauan alam sekitar sebagaimana yang ditampilkan di Taman Ulu Belalong, Temburong turut berpotensi meningkatkan minat pelancong untuk berkunjung ke negara ini.

    Dalam memastikan pelaksanaan berterusan program berkenaan, menteri-menteri yang bersidang bersetuju untuk melaksanakan Pelan Tindakan dua tahun (2018-2019) serta mengenal pasti kegiatan di dalam ATSP 2016-2025 untuk dijadikan tindakan yang terperinci yang mempunyai mercu tandanya tersendiri untuk dicapai dalam tempoh dua tahun yang akan datang.

    Di samping itu, menteri-menteri yang bersidang juga menghargai peranan aktif yang dimainkan oleh negara-negara peneraju dalam pelaksanaan kegiatan ATSP serta menggalakkan mereka untuk terus memberikan sokongan kepada sumbangan pelancongan ASEAN ke arah merealisasikan matlamat integrasi ASEAN menjelang 2025.

    Negara Brunei Darussalam turut menerima beberapa anugerah yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali termasuk Anugerah Hotel Hijau ASEAN kepada Ulu-Ulu Resort dan Hotel Radisson, Anugerah Venue MICE ASEAN kepada Hotel Radisson, Hotel V-Plaza dan Empire Hotel and Country Club serta Anugerah Bandar Pelancong Bersih ASEAN kepada Bandar Seri Begawan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali turut menyatakan penghargaan kepada Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN +3 di atas kerjasama pelancongan dan usaha mereka dalam pelaksanaan Kerjasama Tahun Pelancongan ASEAN-China 2017, Kerjasama Pelancongan ASEAN-Jepun dan Kerjasama Pelancongan ASEAN-Korea di mana ia telah meningkatkan daya saing ASEAN sebagai sebuah destinasi pelancongan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali juga berkata bahawa Brunei bersedia untuk bekerjasama dengan lebih rapat lagi dalam mengukuhkan bidang-bidang promosi, pembangunan kapasiti, kualiti perkhidmatan dan pelaburan dalam sektor pelancongan di antara ASEAN dan negara-negara Tambah 3.

    Di mesyuarat itu juga, Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea, Keum Gihyung, berkata bahawa menurut Laporan Korean Tour Trend 2017, Skyscanner, Negara Brunei Darussalam muncul sebagai salah satu daripada destinasi pilihan bagi trend pelancongan luar Korea. Perkembangan itu didorong dengan pengenalan penerbangan yang disewa ke Korea dan promosi menerusi pelbagai platform media seperti rancangan televisyen Korea yang popular.

    Manakala itu, dari segi kerjasama ASEAN-India, menteri-menteri yang bersidang mengambil maklum mengenai pertumbuhan positif pertukaran pelancongan di antara ASEAN dan India pada 2016 di mana jumlah kedatangan pelancong dari India ke ASEAN ialah 3.5 juta iaitu peningkatan sebanyak 6.1 peratus jika dibandingkan dengan 2015.

    Dalam tempoh 34 tahun, Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pelbagai pusat pelancongan telah direalisasikan dan begitu juga dengan penaiktarafan dari segi infrastruktur sebagai usaha untuk menarik pelancong.

    Antaranya adalah Pusat Maklumat Pelancong, Jejak Warisan Brunei Darussalam, kapal persiaran MV Sentosa yang membawa pengunjung bersiar-siar di Kampong Ayer, Taman Mahkota Jubli Emas, Muzium Alat Kebesaran Diraja dan lain-lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda