Wednesday, October 23, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemalangan bas pendatang, tujuh terkorban

    WALDKRAIBURG, 13 OKT – Tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dan beberapa orang lain cedera hari ini selepas sebuah bas mini yang dipercayai dipenuhi pendatang terlibat dalam kemalangan cuba mengelak pemeriksaan jalan di Jerman.

    Polis berkata sebuah bas mini Mercedes Vito dengan plat Austria dan 23 orang bersesak di dalamnya cuba mengelak pemeriksaan kira-kira 50 kilometer dari sempadan antara Austria dan Jerman semasa menuju ke Munich.

    Pemandu hilang kawalan terhadap kenderaan dipandu, yang terbalik beberapa kali sebelum mendarat di sisinya.

    Pihak berkuasa percaya ‘pengendali penyeludup manusia’ berada di belakang dan telah membuka siasatan jenayah ke atas kemalangan itu di kawasan Bavaria kerana disyaki membunuh.

    “Seorang kanak-kanak berusia enam tahun antara yang maut,” kata jurucakap polis Stefan Sonntag kepada AFP tetapi tidak dapat mengulas tentang jantina atau kewarganegaraan mangsa.

    “Pemandu dan penyeludup manusia yang disyaki selamat dan termasuk dalam kalangan yang cedera.”

    Sonntag berkata petunjuk awal menunjukkan penumpang dalam kenderaan itu ialah warga Syria dan Turkiye, dengan pemandu digambarkan sebagai ‘tiada kewarganegaraan’.

    Sesetengah daripada 16 orang yang cedera dalam keadaan serius dan sedang dirawat di hospital tempatan, dengan kanak-kanak lain dipercayai menjadi mangsa.

    Menteri Dalam Negeri Persekutuan, Nancy Faeser, yang telah melancarkan usaha menentang pendatang haram, berkata dia ‘terkejut’ dengan kemalangan maut ‘yang melibatkan penyeludupan orang yang disyaki’. – AFP

    Pegawai polis bekerja di tapak kemalangan dengan bas mini yang terbalik di lebuh raya berhampiran Waldkraiburg kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda