ALBUQUERQUE, N.M., 31 Ogos – Tayar sebuah trak yang meletup dipercayai menjadi punca kemalangan selepas pertembungannya dengan sebuah bas komersial di sepanjang Interstate 40 di New Mexico berhampiran sempadan Arizona, menurut pihak berkuasa.
Sekurang-kurangnya tujuh penumpang terbunuh dan kira-kira 49 penumpang yang menaiki bas Greyhound tercedera. Pihak berkuasa bagaimanapun, tidak dapat mengira secara tepat bilangan mereka yang tercedera daripada kemalangan tersebut.
Polis New Mexico berkata trak itu sedang dalam perjalanan menuju ke timur di lebuh raya pada petang kelmarin apabila salah satu tayarnya meletup dan menyebabkannya terbabas dan bertembung dengan sebuah bas yang sedang menuju ke Phoenix dari Albuquerque.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan polis negara New Mexico sedang menyiasat kejadian itu.
Sekurang-kurangnya sembilan penumpang bas sedang dirawat di Hospital Universiti New Mexico (UNM).

Para pegawai UNM tidak mengeluarkan sebarang maklumat mengenai keadaan pesakit.
Seorang pemandu motosikal yang melalui jalan tersebut berkata kebanyakan penumpang dalam bas itu cuba keluar daripada rangka bas itu dan menjerit dalam keadaan huru-hara.
Eric Huff menuju ke Grand Canyon bersama teman wanitanya ketika mereka menyaksikan kemalangan itu.
Huff berkata trak itu terbalik dan bahagian bas Greyhound pula remuk akibat kejadian itu, di mana keadaan dalam bas itu begitu teruk, jelasnya.
“Ia merupakan satu kejadian yang sangat mengerikan,” tambahnya.
Pemandu trak itu, Santos Soto III sempat merakamkan kejadian itu yang menunjukkan keadaan teruk bahagian depan bas Greyhound.
Dia melihat kebanyakan penumpang yang berada di tepi jalan berada dalam keadaan ketakutan sambil ditenteramkan oleh penduduk setempat yang melalui kawasan itu. – AP