Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Statistik kemalangan jalan raya dari tahun 2020 hingga 2023 mencatat penurunan daripada jumlah kemalangan jalan raya yang direkodkan.
Pada 2020, jumlah kes kemalangan yang direkodkan adalah 3,986 yang mana 11 daripadanya melibatkan kehilangan nyawa, bagi 2021, jumlah kes kemalangan menunjukkan penurunan kepada 3,104 yang mana 16 daripada kes melibatkan kehilangan nyawa, bagi 2022, jumlah kes kemalangan menunjukkan penurunan iaitu 2,131 tetapi terdapat peningkatan jumlah yang melibatkan kehilangan nyawa iaitu 20 orang mangsa.
Manakala pada 2023, jumlah kes kemalangan menunjukkan penurunan kepada 1,986 dan penurunan kes kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa iaitu 14 orang.
Perkembangan mengenai statistik tersebut serta beberapa inisiatif yang dilaksanakan ke arah peningkatan keselamatan jalan raya dikongsi oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.
Sementara itu, perangkaan kemalangan jalan raya melibatkan kecederaan mengikut pecahan peringkat umur bagi empat tahun kebelakangan iaitu dari 2020 hingga 2023 mengikut kategori umur menunjukkan umur 18 hingga 38 tahun adalah paling banyak terlibat dengan kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan kecederaan diikuti umur 39 hingga 58 tahun dan seterusnya peringkat umur di antara 39 hingga 58 tahun.

Di samping itu, terdapat peningkatan bagi keseluruhan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan dari setahun ke setahun.
Manakala perangkaan mengikut kategori jantina bagi tempoh empat tahun kebelakangan menunjukkan setiap tahun dari 2020 hingga 2023, kaum lelaki lebih ramai terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan dan juga kehilangan nyawa berbanding kaum wanita.
MKKJR serta pihak-pihak yang berwajib telah mengenal pasti punca kes yang melibatkan kehilangan nyawa, antaranya tidak menumpukan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan juga tidak mematuhi peraturan lalu lintas jalan raya seperti memandu lebih daripada had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak berhenti ketika lampu isyarat merah dan tidak menggunakan tali pinggang keselamatan.
Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan secara berterusan oleh MKKJR dengan krjasama daripada agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan persatuan-persatuan berkaitan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya ke arah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Inisiatif itu antaranya mengadakan Jerayawara Keselamatan Jalan Raya, operasi-operasi sepadu, sekatan-sekatan jalan raya, Taklimat Kesedaran Keselamatan Jalan Raya melibatkan sektor kerajaan dan swasta serta sekolah-sekolah.
Di samping itu, Malam Munajat, solat Hajat, Ratib Al-Attas dan membaca Surah Yasin untuk memohon doa kepada Allah SWT bagi mendapatkan keberkatan dan menghindari kemalangan jalan raya daripada berlaku serta pembarigaan dan wawancara mengenai kepentingan keselamatan jalan raya sama ada melalui media massa, media sosial dan juga media cetak termasuk penyampaian melalui Khutbah Jumaat.
MKKJR melalui agensi-agensi penguat kuasa, peraturan dan undang-undang jalan raya sekali lagi menekankan kepentingan bagi semua pengguna jalan raya khususnya para pemandu dan pengguna jalan raya lain untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan, mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan jalan raya serta sentiasa bertanggungjawab dalam sama-sama meningkatkan keselamatan jalan raya.

