Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 12 Jan – Seorang lelaki berbangsa Bangladesh dilaporkan mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan tangan kiri, setelah dilanggar sebuah kereta semasa hendak menyeberangi jalan di kawasan Jalan Maulana berdekatan Hotel Sea View, di sini.
Pada kejadian kira-kira jam 7 malam, 10 Januari lalu itu, mangsa berada di tepi jalan untuk menyeberangi jalan raya sebelum dilanggar.
Mangsa kemudian segera dikejarkan ke Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait dan ketika ini masih dirawat bagi pemeriksaan lanjut.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei turut menyarankan para pemandu atau pengguna jalan raya supaya sentiasa menumpukan perhatian di jalan raya dan kawasan sekeliling semasa memandu.
Pejalan kaki juga dinasihatkan supaya lebih peka dan berhati-hati semasa menyeberangi jalan terutama di kawasan-kawasan jalan yang sibuk dan gelap.