NEW YORK, 8 JAN – Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) telah membuka siasatan terhadap 2.6 juta unit kenderaan Tesla susulan laporan kemalangan yang melibatkan teknologi syarikat tersebut. Teknologi itu membolehkan pemandu mengarah kenderaan dikembalikan kepada mereka atau menghantar ke lokasi lain menggunakan aplikasi telefon pintar.
Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) kelmarin memaklumkan Tesla tidak melaporkan kemalangan itu walaupun diwajibkan melaporkan semua insiden di jalan awam yang melibatkan kenderaan menggunakan teknologi pemanduan autonomi.
Siasatan itu adalah susulan siasatan lain yang dilancarkan pada Oktober terhadap sistem Full Self-Driving Tesla, berikutan laporan kemalangan dalam keadaan penglihatan rendah, termasuk satu kejadian yang menyebabkan kematian seorang pejalan kaki. Siasatan terdahulu itu melibatkan 2.4 juta kenderaan Tesla model tahun 2016 hingga 2024.
Bagaimanapun, Tesla tidak memberikan sebarang komen apabila dihubungi oleh The Associated Press kelmarin.
Seorang pemandu sebelum ini mengemukakan aduan selepas berlaku kemalangan semasa menggunakan teknologi Actually Smart Summon, sementara NHTSA sedang menyiasat tiga lagi insiden serupa berdasarkan laporan media. Secara keseluruhan, pihak berkuasa kini menyiasat 12 insiden yang dilaporkan oleh pengguna teknologi berkenaan.
Menurut NHTSA, setiap kenderaan yang terlibat gagal mengesan tiang dan kenderaan yang diparkir.
Pihak berkuasa mendapati kenderaan terbabit melanggar objek kerana pemandu tidak mempunyai masa tindak balas mencukupi untuk mengelakkan kemalangan, sama ada disebabkan garis pandangan terhad atau kelewatan melepaskan butang aplikasi telefon pintar yang menghentikan pergerakan kenderaan. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/01/P10-D-web-AP_09012025.jpg)