Kemalangan maut, lelaki dihukum penjara 20 bulan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan ke atas seorang lelaki tempatan kerana melanggar seorang lelaki, sehingga membawa maut ketika dia memandu dalam keadaan mabuk.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid juga memerintahkan Bakri Mat Idris, 48, dilarang daripada memandu dan mendapatkan lesen memandu seumur hidup.

Selain mengaku bersalah, Bakri juga mengaku kebenaran fakta pendakwaan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman mendedahkan di mahkamah bahawa tertuduh telah meminum minuman yang memabukkan selepas menghadiri satu perjumpaan di Bukit Udal pada malam 4 Disember 2015.

Selepas tengah malam, tertuduh memandu pulang ke rumahnya melalui lebuh raya Tutong.

Ketika itu hujan turun renyai-renyai apabila tertuduh menghampiri Tanjong Maya dan melihat tiga buah kereta diletakkan di tepi jalan, sebuah daripadanya dengan lampu kecemasan dinyalakan.

Tertuduh yang memandu melintasi kereta yang berhenti, tiba-tiba melanggar seseorang sehinggakan tubuh mangsa terhumban ke bahagian depan keretanya, menyebabkan cermin depan keretanya pecah dan bahagian depan keretanya kemik.

Tertuduh yang panik kemudiannya memecut meninggalkan tempat kejadian. Dia pulang ke rumah dan menutup keretanya dengan plastik putih untuk menyembunyikan kerosakan dan kesan darah pada kereta.

Polis yang menerima panggilan kecemasan, berkejar ke tempat kejadian serta dimaklumkan mengenai apa yang berlaku.

Mangsa dibawa ke hospital di mana doktor mengesahkan kematiannya. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat ‘trauma dan kecederaan sama seperti yang berlaku dalam kemalangan jalan raya.’

Pada keesokan harinya, polis menerima maklumat mengenai kereta tertuduh yang mencurigakan dan pergi ke rumah tertuduh untuk menyiasat, sekali gus membawa kepada penangkapan tertuduh.

Tertuduh mengaku dia telah minum minuman yang memabukkan dan penglihatannya terjejas kerana tidak memakai kaca mata semasa memandu.

Siasatan juga menunjukkan bahawa mangsa pada masa kejadian sedang menolong rakannya menukar tayar pancit dan sedang berjalan kembali ke keretanya apabila tertuduh melanggarnya pada malam itu.