BEIJING, 28 DIS – Seorang maut dalam nahas jalan raya yang melibatkan ratusan buah kenderaan di tengah China, lapor penyiar kerajaan, CCTV hari ini, dengan imej kemalangan itu menunjukkan adegan huru-hara.
Gambar dari udara menunjukkan beratus-ratus kereta penumpang, van dan lori – kebanyakannya berlanggar antara satu sama lain – bertindih di satu bahagian lebuh raya dalam kabus tebal.
Video tular lain yang disiarkan dalam talian menunjukkan beberapa kenderaan remuk yang telah merempuh kereta lain.
Kemalangan itu berlaku akibat jarak penglihatan yang rendah berpunca dari kabus dekat bandar Zhengzhou, wilayah Henan, dan melibatkan sekitar 200 kenderaan, lapor media kerajaan.
“Pada pagi ini, kabus tiba-tiba berlaku di Jambatan Sungai Kuning Zhengxin di Zhengzhou, yang menyebabkan kemalangan jalan raya yang melibatkan perlanggaran banyak kenderaan,” lapor CCTV memetik pihak berkuasa Zhengzhou sebagai berkata, sambil menambah seorang maut.
Polis trafik Zhengzhou berkata dalam akaun media sosial rasmi mereka bahawa trafik di jejambat itu telah disambung semula pada petang ini.
Usaha menyelamat kecemasan dilakukan sejurus selepas kemalangan itu berlaku, menurut laporan CCTV. – AFP


