Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Tiga buah kenderaan terlibat dalam insiden kemalangan di mana sebuah daripadanya terbakar akibat hentakan kuat, di kawasan berdekatan pejabat pos di Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 10 orang anggota dengan dua buah jentera dari Balai Bomba Berakas dikejarkan ke tempat kejadian.
Sejurus tiba, anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memadamkan api menggunakan hose reel yang berjaya dipadamkan dalam masa tujuh minit.
Dua orang mangsa dalam kejadian berkenaan telah dikeluarkan terlebih awal oleh orang awam dan mereka dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) menggunakan kenderaan ambulans bagi rawatan selanjutnya.
Dalam kejadian berkenaan, punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
JBP menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.
Mereka dinasihatkan untuk mempunyai alat pemadam api jenis debu kering di dalam kereta (1kg atau 2kg), disarankan bagi sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin serta aksesori kereta hendaklah mengikut piawaian yang ditetapkan dengan mekanik yang bertauliah.
Sebarang kewahaman mengenai pengubahsuaian kenderaan boleh dirujuk kepada ejen bengkel kenderaan yang bertauliah atau diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Darat.