HONG KONG, 30 Nov – Lima orang maut dan 32 yang lain cedera apabila sebuah bas yang membawa kakitangan Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific ke lapangan terbang Hong Kong bertembung dengan sebuah teksi hari ini, menyebabkan para penumpang terhumban dari cermin akibat impak pelanggaran, kata polis.
Bahagian belakang teksi berkenaan remuk sepenuhnya dan kedua-dua bahagian tepi bas berkenaan rosak bersama lumuran darah dalam insiden yang berlaku di pulau Tsing Yi.
Pihak polis berkata kemalangan tersebut berlaku di laluan kiri jalan utama, di mana teksi itu berhenti dengan memasang lampu kecemasan dan bas berkenaan merempuhnya.
“Kami percaya teksi itu rosak dan berhenti di laluan kiri. Kira-kira 40 saat kemudian, sebuah bas melanggarnya dari belakang,” kata superintenden polis, Yip Siu-ming.
Bas berkenaan kemudiannya hilang kawalan, melanggar pengadang di sebelah kanan dan kiri, mengakibatkan tiga orang penumpang terhumban dari bas.
Sementara, pemandunya berusia 62 tahun turut terhumban dan mendapat cedera.
Menurut polis, mangsa yang maut adalah pemandu teksi, dua lelaki dan dua wanita penumpang bas berkenaan.
Pihak berkuasa hospital Hong Kong berkata seorang mangsa masih dalam keadaan kritikal dan seorang lagi dalam keadaan serius.
Mereka yang cedera sudah pun dalam keadaan stabil atau dibenarkan keluar dari hospital.
Serpihan termasuk kaca dan barangan peribadi dilihat bertaburan di sepanjang jalan raya utama, yang masih ditutup pada awal hari ini. – AFP