Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemampuan KKIA kendali penumpang hampiri tahap maksimum

    KOTA KINABALU, 15 Feb – Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kini menghampiri kapasiti maksimum pengendalian penumpang dan memerlukan langkah segera untuk menanganinya, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

    Beliau berkata KKIA yang berkapasiti sembilan juta penumpang setahun, mengendalikan 7.9 juta orang tahun lalu dan dijangka mencapai kapasiti maksimum dalam masa terdekat jika berdasarkan peningkatan pelawat khususnya dari China.

    “Kerajaan negeri telah mengemukakan beberapa cadangan kepada pihak berwajib di peringkat persekutuan dengan pilihan sama ada membesarkan KKIA atau membina lapangan terbang baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan perdana agensi-agensi di bawah kementeriannya di sini hari ini.

    Datuk Seri Masidi Manjun (lima kiri) bersama pegawai kanan penjawat awam sejurus selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Perdana di bawah kementeriannya kelmarin. Datuk Seri Masidi Manjun berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kini menghampiri kapasiti maksimum pengendalian penumpang dan memerlukan langkah segera untuk menanganinya. – Bernama

    Turut hadir dua Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar iaitu Datuk Kamarlin Ombi dan Datuk Pang Yuk Ming, Setiausaha Tetap kementerian itu Datuk Jamal Sulai, Pengerusi Lembaga Pemengang Amanah Taman-Taman Sabah Datuk Seri Dr Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

    Mengulas lanjut, Masidi berkata isu yang dihadapi KKIA itu perlu ditangani segera bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan. Beliau juga

    berkata pihaknya menerima beberapa cadangan bagi menghadapi kemungkinan masalah kesesakan di KKIA antaranya melencongkan pelawat ke pantai timur Sabah seperti Sandakan dan Tawau selain cadangan membesarkan lapangan terbang itu dengan melakukan penambakan laut untuk pembinaan landasan baharu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda