BUCHAREST, 31 JAN – Ruben Amorim berkata kemaraan Manchester United ke pusingan 16 terakhir Liga Europa dengan kemenangan 2-0 ke atas FCSB adalah penting dalam usaha menghidupkan semula pasukannya yang bermasalah.
Anak buah Amorim bangkit di Bucharest untuk memastikan kedudukan lapan teratas yang menjamin kelayakan automatik ke pusingan 16 terakhir kelmarin.
Diogo Dalot memecah kebuntuan setelah sejam permainan dengan penyudah jarak dekat hasil hantaran lintang Kobbie Mainoo.
Mainoo turut menjaringkan gol lapan minit kemudian ketika pemain tengah England itu memanfaatkan hantaran ke tengah oleh Alejandro Garnacho.
United menduduki tempat ketiga dalam fasa liga Liga Europa selepas tidak tewas dalam lapan perlawanan mereka.
Kedudukan tersebut mengelak United dari playoff dan menjadi satu dorongan besar bagi Amorim, yang akan terus menerapkan taktik dan falsafahnya di padang latihan.
“Itu sangat penting bagi kami untuk mempunyai masa untuk berlatih dan mempunyai hubungan antara semua orang, malah kakitangan,” katanya.
“Dalam latihan kami pergi ke padang dan mengenali satu sama lain dalam persekitaran yang betul. Awda boleh bekerja pada idea awda dan kemudian mempunyai masa untuk memberi tumpuan kepada lawan.
“Itu adalah perkara terbesar. Lebih daripada kemenangan adalah mempunyai masa untuk berlatih dan mempunyai masa untuk memulihkan pemain.”
Kemajuan United dalam Liga Europa akan menjadi dorongan kepada Amorim setelah dia berusaha untuk meyakinkan pemain dan peminat United bahawa dia akan menamatkan tempoh yang kurang berprestasi dalam Liga Perdana dan Eropah.
“Kami mengawal permainan, tetapi kami perlu menjaringkan lebih banyak gol kerana kami mempunyai peluang. Lawan (dalam liga ini) dengan segala hormatnya tidak sama tahap dengan Liga Perdana,” kata Amorim.
United akan menentang Real Sociedad, Galatasaray, AZ Alkmaar atau FC Midtjylland pada pusingan 16 terakhir pada Mac dan Amorim percaya mereka mampu menjulang trofi di Bilbao pada bulan Mei. – AFP