TAIWAN – Menakik sebatang pokok buluh dengan parang, Avayi Vayayana mengopek kulit keras rebung buluh sambil memerhatikan kawasan sekeliling gunung selatan Taiwan, mencari-cari tanaman yang menjana keuntungan kepada puak kaum aslinya yang semakin sukar diperolehi.
Generasi demi generasi kaum asli Tsou hidup bergantung dengan hutan buluh berhampiran bandar Alishan, yang menurut Vavayana ditanam oleh nenek moyangnya dan lazimnya dituai pada April dan Mei.
“Namun, cuaca dalam beberapa tahun terakhir ini betul-betul tidak menentu,” kata ketua suku kaum berusia 62 tahun itu kepada AFP.
“Hujan lewat dan pertumbuhan pucuk buluh muda terjejas secara ketara.”
Di kampung asli T’fuya, buah buluh batu tempatan pulau itu, yang berwarna coklat gelap, semakin sukar ditemui.
“Pucuk buluh muda tidak akan tumbuh jika tidak ada hujan. Lama-kelamaan, ia akan mati di dalam tanah,” kata Vayayana.
Hujan pada bulan Februari hingga April adalah penting untuk pertumbuhan pucuk atau rebung buluh, yang popular dalam masakan Asia. Tetapi sejak akhir tahun lalu, tiada hujan lebat yang signifikan.
Suku Tsou, yang berpenduduk 7,000 orang di Alishan, mengalami penurunan hasil pucuk buluh mereka secara beransur-ansur.
Pada pagi Mei yang berkabus, gerimis yang ditunggu akhirnya turun di hutan buluh tempat Vayayana bekerja, tetapi dia memberitahu AFP bahawa ia sudah terlambat.
Tahun ini, hasilnya hanya sepertiga daripada hasil penuaian pada tahun 2022.
Apa yang lebih buruk, Vayayana dan keluarganya kini juga perlu berdepan gangguan monyet yang mencuri hasil tanaman mereka.
Ia jelas apabila bunyi tembakan senjata kedengaran dari kejauhan sepupunya cuba mengusir monyet-monyet tersebut.
“Kerana hutan buluh di sekeliling telah mati, maka di mana sahaja ada pucuk buluh, monyet akan mengerumuninya,” katanya.
Selatan Taiwan mengalami kemarau terburuk dalam beberapa dekad. Tahap air empangan Tsengwen yang menyediakan bekalan air kepada kawasan Tainan dan Chiayi di selatan turun di bawah 10 peratus tahun ini, yang ketiga kalinya sejak 2018, mengakibatkan dasar empangan retak dan terdedah.
Tsengwen berfungsi sebagai sumber air utama untuk kilang pembuatan semikonduktor yang berharga di pulau ini yang kini meningkat permintaannya di seluruh dunia dan juga menyokong dataran tanaman padi di kawasan itu.
Sejurus perjalanan selama sejam dari empangan, Alishan juga mengalami perubahan cuaca yang drastik.
Dari Januari hingga April, jumlah hujan menurun menjadi 226.5 milimeter (mm), penurunan lebih daripada 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Biro Kaji Cuaca Taiwan.
Bagi suku Tsou yang gaya hidup mereka berhubungkait dengan alam semula jadi kesan itu adalah menyeluruh, kata Lea Chang dari Greenpeace Taiwan.
“Mereka adalah mangsa terhadap perubahan iklim,” kata Chang kepada AFP.
Di pusat pengumpulan hasil tanaman T’fuya, penduduk desa memunggah beg-beg pucuk buluh dari trak, menimbangnya sebelum menghantarkannya ke kilang untuk direbus dan ditinkan untuk penggunaan secara meluas.
“Tahun ini, hujan datang terlalu lewat dan banyak pokok buluh tidak menjadi. Hasil tuaiannya sangat teruk,” kata Voyu Baniana, 24, kepada AFP.
“Di ladang keluarga saya, tiada hasil. Saya hanya boleh bekerja untuk orang lain tahun ini,” tambahnya.
Mereka yang pulang ke kampung selepas bekerja di bandar dalam jangka masa tertentu mendapati lebih sukar untuk menampung kehidupan dengan hasil tanaman yang mereka kembangkan sejak kecil.
Voyo Yulunana, 43, masih mengingati hari-hari panjang yang dihabiskannya sebagai kanak-kanak memetik pucuk buluh, hasil jualan yang meningkatkan taraf hidup komuniti mereka.
“Membeli kereta atau membina rumah, kita bergantung kepada buluh,” katanya.
Sejak Yulunana pulang daripada kerja seketika di bandar dalam bidang pembinaan, dia perasan “hujan tidak turun pada waktunya”.
Untungnya, datuknya beralih kepada penanaman biji kopi, yang menjadi pilihan Yulunana dan golongan muda Tsou yang lain dalam dekad yang lalu.
“Kopi secara perlahan menggantikan pucuk buluh sebagai tanaman hasil tunai di Alishan,” kata Yulunana.
Namun, ia juga tidak terkecuali daripada perubahan iklim hujan lewat pada musim bunga mempengaruhi musim berbunga tumbuhan, dan cuaca yang tidak menentu tahun lalu hampir memusnahkan 400 pokok kopi di ladang keluarganya, katanya.
“Pada masa ini, saya boleh hidup dengan hanya menanam kopi,” kata Yulunana. “Siapa tahu apa tanaman baharu yang akan muncul selepas kopi?”. – AFP