SEOUL, 5 SEPT – Kemarau luar biasa memaksa sebuah bandar pantai di Korea Selatan mengehadkan penggunaan air di kediaman, menutup tandas awam serta membatalkan acara sukan, kata pegawai hari ini, sekali gus menekankan cabaran iklim yang dihadapi negara itu.
Minggu lalu, Presiden Lee Jae Myung mengisytiharkan bandar timur Gangneung sebagai kawasan bencana negara, dengan penduduk kini berdepan sekatan bekalan air.
Tempoh kering berpanjangan telah memaksa pihak berkuasa bandar dengan populasi 200,000 itu menutup 75 peratus meter air kediaman, menyebabkan tekanan air jauh lebih rendah daripada biasa.
Pada hari ini, Datuk Bandar Gangneung, Kim Hong-kyu berkata bekalan air akan dipotong di 123 lokasi, termasuk 113 pangsapuri dan 10 hotel besar.
Menurut pihak bandar, tangki simpanan hanya mampu bertahan dua hingga tiga hari sebelum penghantaran kecemasan oleh lori tangki bermula.
“Gangneung kini mengalami kemarau terburuk dalam tempoh 108 tahun sejak pemantauan meteorologi dimulakan,” kata Kim kepada wartawan.
“Kita hanya boleh mengharungi kemarau ini jika semua berjimat dan menggunakan air dengan berhemah,” tambahnya.
Minggu ini, bandar itu menutup semua kemudahan sukan kendalian Majlis Perbandaran, termasuk kolam renang, gelanggang tenis dan kelab golf bagi mengurangkan penggunaan air, beritahu seorang pegawai kerajaan tempatan kepada AFP. – AFP


