Tuesday, November 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemarau punca kejatuhan ‘bersejarah’ kuasa hidro

    BANGKOK, 6 OKT – Keadaan kering, terutamanya di China, menyebabkan kejatuhan global ‘bersejarah’ dalam penjanaan kuasa hidro pada separuh pertama 2023, menurut analisis baharu yang menekankan kesan perubahan iklim.

    Kajian oleh kumpulan pemikir tenaga boleh diperbaharui, Ember berpendapat bahawa penurunan itu adalah ‘petanda awal bahawa penghasilan kuasa hidro boleh memberi kesan negatif kepada kadar peralihan elektrik’.

    Kumpulan itu berkata penjanaan kuasa hidro global jatuh 8.5 peratus pada tahun ini hingga Jun, lebih banyak daripada penurunan setahun penuh sepanjang dua dekad yang lalu.

    Tiga perempat daripada penurunan itu disebabkan oleh kejatuhan di China, yang mengalami rekod suhu tertinggi awal tahun ini.

    Antara musim sejuk 2022 dan musim bunga 2023, kebanyakan kawasan di barat daya China mengalami penurunan hujan yang ketara dan suhu yang lebih tinggi berbanding tahun biasa, menurut kementerian pengurusan bencana Beijing. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda