QUITO, 22 SEPT – Kerajaan Ecuador mengumumkan pelaksanaan catuan bekalan elektrik yang dijadualkan bermula sehari lebih awal, kelmarin, untuk catuan tenaga elektrik akibat kemarau terburuk yang melanda negara itu dalam tempoh 61 tahun.
Pada asalnya, pemadaman elektrik dijadualkan berlaku dari Isnin hingga Khamis pada waktu malam, namun catuan tambahan kini akan dilaksanakan pada waktu siang, bermula Ahad dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di 12 wilayah, menurut kenyataan rasmi presiden.
Langkah tersebut diambil bagi ‘melindungi sumber air yang ada’ setelah 71 hari tanpa hujan, yang telah menyebabkan paras air di takungan loji hidroelektrik, yang menyumbang 70 peratus permintaan elektrik negara itu jatuh ke tahap kritikal.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa langkah tambahan mungkin diambil bergantung kepada situasi.
“Pada tengah hari Ahad, selepas penilaian situasi air di rantau, negara, dan setiap wilayah, tindakan tambahan yang diperlukan akan diumumkan,” tambah kenyataan itu.
Pada malam Rabu, bekalan elektrik telah dipotong selama enam jam di beberapa kawasan bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan menjelang catuan elektrik yang dirancang. – AFP