Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemas kini garis panduan perkumpulan ramai

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Dengan pengurangan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 Negara Brunei Darussalam bagi perkumpulan ramai iaitu tahap kesediaan operasi ketiga dengan kemas kini pada 7 September, perkumpulan ramai dibenarkan kepada keramaian tidak melebihi 350 orang di mana sebelum ini, perkumpulan ramai dihadkan kepada 200 orang.

    Kemas kini garis panduan Kementerian Kesihatan bagi perkumpulan ramai berkenaan menyatakan bahawa perkumpulan ramai merujuk kepada acara yang dianjurkan secara terancang mahupun spontan serta mempunyai jumlah individu yang cukup untuk mengendalikan perancangan dan memberikan tindak balas terhadap sumber tenaga komuniti, kawasan atau negara yang menganjurkan acara berkenaan.

    Menurut garis panduan berkenaan, dengan kemas kini pada 7 September, perkumpulan ramai yang dibenarkan adalah terhad kepada keramaian tidak melebihi 350 orang sahaja untuk setiap majlis atau acara dan penganjur majlis atau acara adalah tidak dibenarkan untuk menjemput para hadirin hadir secara bergilir.

    Majlis-majlis yang dibenarkan ialah acara atau majlis peribadi, keagamaan, perkahwinan, kekeluargaan dan amal atau sukarelawan yang diadakan di kediaman persendirian sama ada acara di dalam rumah atau menggunakan khemah di luar rumah atau premis-premis khusus seperti dewan bankuet, restoran dan tempat-tempat acara lain.

    Majlis yang dibenarkan juga ialah acara keramaian di tempat kerja termasuk mesyuarat, kursus, latihan, persidangan, temu duga pekerjaan termasuk peperiksaan bertulis dan acara sosial. Penganjur bagi mana-mana acara rekreasi hendaklah memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dipatuhi. Acara-acara yang dibenarkan iaitu majlis peribadi, keagamaan, perkahwinan, kekeluargaan, amal atau sukarelawan, acara keramaian di tempat kerja termasuk mesyuarat, kursus, latihan, persidangan, temu duga pekerjaan termasuk peperiksaan bertulis dan acara sosial, hendaklah mematuhi had keramaian orang yang hadir. Walau bagaimanapun, garis panduan berkenaan menegaskan kehadiran tetamu secara bergilir-gilir adalah tidak dibenarkan.

    Garis panduan berkenaan turut menyatakan bahawa acara atau majlis yang dibenarkan hendaklah diringkaskan supaya tidak memakan masa yang lama di mana seboleh-bolehnya dihadkan masa acara kepada dua jam sahaja pada satu-satu masa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda