Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Seramai 495 orang pelajar iaitu 193 orang pelajar lelaki dan 302 orang pelajar perempuan memulakan pengajian mereka di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) di mana jumlah itu juga merupakan jumlah kemasukan pelajar tertinggi jika dibandingkan dengan pusat tingkatan enam lain di negara ini.
Jumlah kemasukan pelajar yang ramai di maktab itu bukan hanya menunjukkan prestasi Peperiksaan GCE Peringkat ‘O’ yang meningkat tetapi juga keyakinan ibu bapa serta penjaga dan pelajar sendiri terhadap maktab berkenaan.
Kepercayaan terhadap Maktab Duli sebagai sebuah institusi pendidikan yang sudah lama bertapak bukan sahaja daripada segi kualiti pendidikannya tetapi juga komitmen para pensyarah yang ada di maktab berkenaan.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim ketika berucap di Majlis Kemasukan Pelajar Baru Sesi 2018/2019 yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli, Gadong, hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru para pensyarah Maktab Duli untuk menghargai keyakinan ini dan seterusnya akan berusaha dengan lebih gigih lagi bagi sentiasa meningkatkan komitmen dan dedikasi sebagai golongan pendidik yang berwibawa sesuai dengan peranan mereka sebagai penyampai ilmu serta sebagai golongan insan yang komited ke arah memberikan masa depan yang cemerlang kepada pelajar mereka.


Di majlis itu, Hajah Monaliza turut mengongsikan mengenai pencapaian akademik maktab dalam Peperiksaan GCE Peringkat ‘A’ tiga tahun kebelakangan di mana keputusan pelajar meningkat dari tahun ke setahun dengan pencapaian bagi 3 ‘A’ Level dan ke atas untuk 2015 ialah 67.52 peratus, meningkat pada 2016 iaitu 67.89 peratus dan melonjak naik pada 2017 iaitu 70.02 peratus.
“Kejayaan pada tahun 2017 telah mencapai sasaran nasional dan ia merupakan rekod yang terbaik, yang pernah dicatatkan oleh maktab ini. Pihak maktab berharap, kejayaan ini akan dapat ditingkatkan lagi, pada tahun-tahun mendatang,” jelasnya.
Beliau turut memberikan beberapa saranan kepada para pelajar baru maktab berkenaan termasuk menyarankan mereka untuk menggunakan masa dengan bijak dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah menjurus kepada pembelajaran. Beliau turut menekankan betapa pentingnya kedatangan kuliah serta untuk menggunakan masa yang terluang seperti semasa personel study, untuk berjumpa dengan pensyarah bagi mendapatkan khidmat tutorial atau bimbangan lanjut dengan topik-topik yang kurang difahami.
Pada masa yang sama, beliau juga menyarankan para pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti perkembangan sahsiah pelajar seperti kegiatan kokurikulum dan projek kesukarelawanan.
“Aktiviti-aktiviti seumpama ini diharap akan dapat membantu para pelajar mencapai kejayaan secara holistik dan para pelajar akan lebih bersedia menempuh alam pendidikan peringkat seterusnya dengan cemerlang berbekalkan pendidikan berkualiti dan mempunyai kemahiran tertentu seperti kepimpinan, kemahiran berkomunikasi, kerjasama dan sebagainya,” tambahnya.
Beliau juga menyatakan harapan supaya pihak ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan mereka di mana penglibatan, sokongan dan komitmen padu mereka amat diperlukan untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka.
Majlis kemasukan pelajar baru berkenaan menyaksikan para pelajar baru menyertai program orientasi selama empat hari bermula hari ini hingga 1 Mac di mana mereka akan lebih mengenali mengenai maktab berkenaan.
Semasa program orientasi berkenaan, para pelajar juga diberikan penerangan oleh pelbagai unit dan seksyen maktab mengenai dasar-dasar serta pelbagai jenis kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di maktab berkenaan.