Kemasukan warga asing ditangguhkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Penangguhan kebenaran kemasukan warganegara asing dari Malaysia termasuk perjalanan transit melalui pos-pos kawalan darat dan laut dengan melintasi Negara Brunei Darussalam adalah dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 10 Februari 2021.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diterima, di sini, hari ini, penangguhan tersebut adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ia juga merujuk kepada siaran akhbar JPM bertarikh 30 Disember 2020, dan pengumuman oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan pada 12 Januari lalu.

Jelas kenyataan itu, transit melalui negara ini hanya boleh dipertimbangkan bagi kenderaan-kenderaan yang mempunyai Penyata Kebenaran Transit yang dikeluarkan oleh kerajaan negara ini sahaja.

Kebenaran tersebut adalah dengan jaminan atau sokongan daripada pihak berkuasa Malaysia yang berkenaan.

Selain itu, ia juga disertakan dengan syarat dan prosedur kemasukan yang sedia ada bagi tujuan seperti; atas urusan rasmi kerajaan, persekolahan, perkhidmatan-perkhidmatan kecemasan (seperti ambulans, polis dan tentera), dan transport operators berdaftar di Malaysia dengan Permit Lintas Batas yang dikeluarkan oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam bagi penghantaran bekalan import yang penting ke negara ini dan Malaysia.

Penangguhan kebenaran kemasukan warganegara asing dari Malaysia termasuk perjalanan transit melalui pos-pos kawalan darat dan laut dengan melintasi Negara Brunei Darussalam adalah dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 10 Februari 2021.

Di samping itu, penangguhan sementara kebenaran bagi pengambilan dan penghantaran barangan milik individu di lokasi-lokasi khusus di perkarangan sempadan (checkpoints) yang dibuat oleh runners berdaftar di negara ini juga adalah dilanjutkan selama 14 hari sehingga 10 Februari 2021.

Manakala penangguhan sementara kebenaran bagi keluar dan masuk negeri secara ulang alik (commuters) melalui pos-pos kawalan darat mahupun laut bagi tujuan pekerjaan adalah juga dilanjutkan selama 14 hari sehingga 10 Februari 2021.

Penangguhan sementara kebenaran keluar negeri bagi pelajar-pelajar untuk membuat perjalanan ke United Kingdom pula, jelas kenyataan itu, adalah dilanjutkan selama satu bulan sehingga 28 Februari 2021.

Selain daripada United Kingdom, penangguhan sementara ini juga dilaratkan kepada negara-negara yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi sebagaimana penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan melibatkan semua penuntut-penuntut warganegara Brunei Darussalam.

Manakala kebenaran keluar negeri bagi warga perkhidmatan awam di bawah Skim Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) untuk membuat perjalanan ke negara-negara yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi sebagaimana penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan adalah ditangguhkan sementara selama satu bulan bermula 26 Januari 2021 sehingga 28 Februari 2021.

Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan di atas adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu Hal Ehwal Rentas Sempadan dari semasa ke semasa. Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja.