NEW DELHI, 29 DIS – Pihak berkuasa India melancarkan siasatan terhadap syarikat farmaseutikal Marion Biotech yang berpangkalan di utara Uttar Pradesh, berikutan 18 kanak-kanak maut di Uzbekistan selepas mengambil ubat batuk keluaran syarikat berkenaan, lapor media tempatan kelmarin.
Kementerian Kesihatan Uzbekistan pada Selasa mengesahkan kematian 18 daripada 21 kanak-kanak yang mengambil cecair ubat batuk keluaran Marion Biotech, Doc-1 Max.
Ujian makmal mendedahkan kehadiran bahan toksik iaitu ethylene glycol dalam ubat berkenaan.
Sampel hasil pemeriksaan perubatan telah diserahkan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang.
Pertubuhan Kawalan Standard Ubat-ubatan Pusat India dan Pihak Berkuasa Pengawalan dan Pelesenan Ubat-ubatan Uttar Pradesh akan menjalankan siasatan bersama mengenai kejadian itu, lapor Sputnik memetik laporan penyiar NDTV.
Tablet dan cecair ubat batuk Doc-1 Max telah ditarik balik dari semua farmasi di seluruh Uzbekistan selepas insiden itu.
Ini merupakan kes kedua seumpamanya membabitkan ubat batuk buatan India pada 2022.
Sebelum ini, kerajaan Gambia mengesahkan kematian 70 kanak-kanak akibat kegagalan buah pinggang akut.
Pihak berkuasa negara itu mengaitkan kematian kanak-kanak berkenaan berpunca daripada penggunaan ubat-ubatan buatan India yang mengandungi bahan toksik. – Bernama


