LONDON, 17 NOV – Kematian akibat penyakit campak meningkat lebih daripada 40 peratus tahun lalu dan kes jangkitan meningkat setelah kadar vaksinasi merosot secara dramatik semasa pandemik, kata agensi kesihatan utama kelmarin.
Penyakit yang sangat berjangkit itu menyebabkan pandemik di 37 buah negara tahun lalu, berbanding 22 buah negara pada 2021.
Ia melibatkan 9 juta orang kanak-kanak dan membunuh 136,000 orang, kebanyakannya di negara-negara miskin, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dalam laporan baru.
Dua dos vaksin campak memberikan perlindungan tinggi terhadap penyakit itu. Kanak-kanak di negara-negara membangun di Afrika, Asia Tenggara, Amerika Latin, dan India berisiko tertinggi.
WHO dan CDC mengatakan kadar imunisasi di negara-negara miskin ialah kira-kira 66 peratus, “Satu kadar yang menunjukkan tiada pemulihan sama sekali daripada pandemik.”
Campak adalah antara penyakit yang paling berjangkit yang diketahui dan merebak di udara apabila seseorang yang dijangkiti batuk atau bersin. Ia paling biasa berlaku pada kanak-kanak di bawah lima tahun. Gejala termasuk demam, batuk, hidung berair, dan ruam. – AP
