Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Kematian akibat doksuri di Filipina meningkat, 20 hilang

    MANILA, 28 JULAI – Angka kematian akibat hujan lebat, banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Doksuri telah meningkat kepada 13 orang manakala 20 lagi hilang, kata agensi bencana Filipina hari ini, lapor Xinhua.

    Sembilan maut dalam kejadian tanah runtuh di Wilayah Pentadbiran Cordillera, satu di wilayah Ilocos di utara Filipina, dua di tengah Filipina dan satu di wilayah berhampiran Manila, kata Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC).

    Sembilan lagi hilang di Wilayah Pentadbiran Cordillera dan 11 di Lembah Cagayan, wilayah di utara Filipina, tambah agensi itu.

    Taufan Doksuri menjejaskan lebih 500,000 penduduk di negara Asia Tenggara itu. Lebih 29,000 orang yang berpindah masih berada di 479 pusat perlindungan sementara.

    Doksuri, taufan kelima yang melanda Filipina tahun ini, mengakibatkan hujan selama beberapa hari, mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh. Banyak kawasan di pulau utama Luzon masih ditenggelami air walaupun Doksuri meninggalkan Filipina, kelmarin.

    Jurucakap Pengawal Pantai Filipina Laksamana Muda Armando Balilo berkata, pencarian diteruskan bagi empat anggota Pengawal Pantai yang hilang pada Rabu ketika dalam perjalanan untuk menyelamatkan tujuh kru bot yang hanyut di perairan wilayah
    Cagayan.

    Hari ini, biro cuaca memberi amaran bahawa lekukan tropika di luar Filipina telah bertambah menjadi ribut tropika. Setakat pagi tadi, biro itu mengesan ribut yang datang kira-kira 1,300km ke timur Visa-yas Timur, sebuah wilayah di tengah Filipina. – Bernama

    Penduduk menyeberangi jambatan yang dinaiki air selepas sungai melimpah akibat hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Doksuri di bandar Ilagan, wilayah Isabela pada 26 Julai lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...