Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Kematian akibat periuk api meningkat

    PHNOM PENH, 6 SEPT – Kemboja mencatatkan 40 kematian akibat periuk api dan letupan sisa perang (ERW) dalam tempoh lapan bulan pertama 2022, meningkat 21 peratus berbanding 33 kematian dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut laporan yang diterbitkan hari ini.

    Semasa tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, 10 orang terbunuh, 23 mengalami kecederaan, dan tujuh orang hilang anggota badan, menurut laporan Pihak Berkuasa Tindakan Periuk Api dan Bantuan Mangsa Kemboja (CMAA).

    Dari 1979 hingga Ogos 2022, letupan akibat periuk api dan ERW telah meragut 19,818 nyawa dan 45,186 mengalami kecederaan dan hilang anggota badan, menurut CMAA.

    Kemboja adalah salah sebuah negara terburuk yang terkesan oleh periuk api. Kira-kira empat hingga enam juta periuk api dan senjata lainnya telah ditinggalkan dari peperangan tiga dekad lalu dan konflik dalaman yang berakhir pada 1998.

    Menurut Yale University, antara tahun 1965 dan 1973, Amerika Syarikat (AS) menjatuhkan kira-kira 230,516 bom di 113,716 buah tapak di Kemboja.

    Naib presiden pertama CMAA, Ly Thuch berkata sejak 1992 hingga ke hari ini, negara itu telah membersihkan 2,410 kilometer persegi kawasan yang dipasang periuk api, memusnahkan lebih 1.1 juta periuk api, lebih 26,000 periuk api anti kereta kebal dan hampir tiga juta ERW.

    Walau bagaimanapun, Kemboja masih perlu membersihkan baki 716 kilometer persegi kawasan yang masih belum selamat daripada periuk api dan ERW, katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...