Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kematian akibat serangan beruang di Jepun meningkat

    TOKYO, 10 OKT – Seorang lelaki yang mencari cendawan di hutan Jepun dipercayai maut akibat diserang beruang, kata polis hari ini, menjadikannya kes terbaharu dalam siri kejadian yang jika disahkan boleh mencatatkan rekod baharu.

                Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak beruang liar dilihat di Jepun, termasuk di kawasan perumahan. Fenomena itu dikaitkan dengan faktor seperti penurunan populasi manusia dan perubahan iklim.

                “Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70an yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan untuk mengutip cendawan ditemui mati,” kata seorang pegawai polis di wilayah utara Iwate kepada AFP.

                “Kami mengesyaki dia diserang beruang berdasarkan kesan calar yang ditemui pada tubuhnya,” katanya.

                Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, jumlah rasmi kematian akibat serangan beruang telah meningkat kepada enam orang bagi tahun fiskal bermula April 2025, menyamai rekod tertinggi yang dicatat pada 2023.

                Namun, dalam tempoh seminggu kebelakangan ini, terdapat tiga serangan maut yang disyaki dilakukan beruang, yang jika disahkan, akan menjadikan jumlah kematian tahunan tertinggi pernah direkodkan.

                Selain lelaki berusia 70an itu, polis turut menemui mayat seorang lelaki lain dipercayai diserang beruang di bahagian lain wilayah Iwate pada Rabu.

                Stesen penyiaran tempatan, TV Iwate, melaporkan bahawa kepala dan bahagian badannya telah terpisah.

                Sementara itu, di wilayah Nagano di tengah Jepun, mayat seorang lelaki berusia 78 tahun yang mempunyai kesan cakaran berganda ditemui pada Sabtu lalu.

                Walaupun polis amat mengesyaki kedua-dua lelaki itu maut akibat serangan beruang, punca sebenar kematian mereka masih dalam siasatan.

                Antara April hingga September tahun ini, sebanyak 103 orang di seluruh Jepun dilaporkan cedera akibat serangan beruang, menurut kementerian berkenaan.

                Pada Selasa lalu, seekor beruang yang kelihatan agresif menceroboh masuk ke dalam sebuah pasar raya di wilayah Gunma, utara Tokyo, lalu mencederakan dua lelaki dan menakutkan para pelanggan.

                Pasar raya itu terletak berhampiran kawasan pergunungan, namun menurut Hiroshi Horikawa, pegawai perancangan pengurusan bagi rangkaian pasar raya tersebut, ini merupakan kejadian pertama beruang menceroboh kawasan itu.

                Selain itu, seorang pelancong dari Sepanyol turut diserang beruang ketika berada di sebuah perhentian bas di perkampungan pelancongan Shirakawa-go yang indah di tengah Jepun pada Ahad lalu.

                Antara kematian terbaru yang disahkan ialah seorang wanita berusia 70an yang meninggal dunia minggu lalu ketika mengutip cendawan bersama tiga rakannya di wilayah Miyagi, utara Jepun. Salah seorang daripada rakannya masih dilaporkan hilang. – AFP

    Gambar Freepik.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda