Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kematian akibat trauma terus menjadi salah satu punca utama kematian di Negara Brunei Darussalam.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), terdapat 2,131 kemalangan jalan raya dilaporkan pada 2022 dengan 20 kematian direkodkan.
“Setiap hari, kita menyaksikan akibat yang dahsyat daripada kejadian ini, yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan meninggalkan keluarga berkecamuk dengan kesedihan.
“Ia adalah amat tragik kerana kematian berkaitan trauma boleh dielakkan,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya di pelancaran kursus Major Trauma Life Support Course Training to Save Lives yang berlangsung di Bangunan Tambahan, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menambah dalam pengurusan kecemasan semasa tempoh awam berikutan sesuatu kemalangan, adalah amat mustahak untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup mangsa trauma.
Oleh itu, kursus melengkapkan profesional penjagaan kesihatan dengan kemahiran menyelamatkan nyawa, tekan Yang Berhormat Dato, mempunyai potensi untuk mengurangkan kematian yang boleh dielakkan dan meningkatkan pengurusan trauma.
Mengulas mengenai kursus tersebut, beliau menyatakan kurikulum komprehensif yang disediakan dapat memastikan para peserta dilengkapkan dengan kemahiran yang
diperlukan untuk menangani kebanyakan kes trauma yang mencabar.
Beliau juga memuji komitmen para peserta kursus untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam pengurusan trauma di mana ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh akan mempunyai impak langsung kepada kehidupan individu yang berada dalam situasi terdesak di mana keupayaan para peserta untuk bertindak cepat, yakin dan efektif dalam berhadapan trauma boleh bermakna perbezaan antara hidup dan mati.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Pemangku Pakar Bersekutu Ja-batan Kecemasan, Dr Nurul Bahriah binti Haji Ali selaku pengurus bersama kursus dalam kata alu-aluannya menyatakan kursus berkenaan akan melatih penyedia penjagaan kesihatan tentang cara paling berkesan untuk menguruskan pesakit yang mengalami kecederaan akibat trauma.
Kursus disampaikan oleh para profesional dari Kementerian Kesihatan yang terlatih dalam bidang mereka dan pakar dalam penjagaan trauma bertaraf antarabangsa.
Ia akan dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun dan akan diberikan kepada semua doktor, jururawat dan paramedik yang terlibat dalam penjagaan pesakit yang mengalami kecederaan di keempat-empat daerah.