Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rawatan lewat sebabkan kematian akibat denggi meningkat

    DHAKA, 24 SEPT – Sebanyak 81 peratus daripada pesakit denggi yang meninggal dunia tahun ini hanya dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam selama tiga hari atau lebih, dan perkara ini dilaporkan oleh pihak berkuasa kesihatan, sekali gus menekankan bahawa kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca utama kematian setakat ini.

    Kira-kira 74 peratus daripada pesakit meninggal dunia dalam tempoh 48 jam selepas dimasukkan ke hospital, manakala 50 peratus maut akibat Sindrom Renjatan Denggi (Dengue Shock Syndrome, DSS).

    Kira-kira 43 peratus daripada mereka yang meninggal dunia juga mempunyai komorbiditi, menurut data daripada Directorate General of Health Services (DGHS).

    Oleh itu, ujian awal dan kemasukan ke hospital secara tepat pada masanya adalah sangat penting, kata pegawai kesihatan, berikutan peningkatan ketara dalam kes denggi baru-baru ini.

    Gambar AFP

    DGHS berkongsi pemerhatian dan saranan ini dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat di Mohakhali, Dhaka semalam, selepas menyemak semula kes kematian melibatkan 114 pesakit denggi tahun ini.

    Ketua Pengarah DGHS, Prof Md Abu Jafor menjelaskan, “jika penyakit ini tidak dapat dikenal pasti tepat pada masanya atau rawatan tidak dimulakan lebih awal, penderitaan dan kematian akan meningkat. Kesedaran orang awam sangat penting dalam hal ini”.

    “Apa pun langkah yang diambil tidak akan berjaya jika masyarakat tidak diberikan kesedaran,” katanya sambil memohon kerjasama daripada pihak media.

    Negara itu mencatatkan peningkatan tahunan mendadak dalam kes denggi, dengan kes meningkat sebanyak 81 peratus dan kematian meningkat 43 peratus, dan ini mencetuskan kebimbangan terhadap penularan wabak yang semakin buruk.

    Dua orang lagi dilaporkan meninggal dunia, dan 678 dimasukkan ke hospital dalam tempoh 24 jam sehingga jam 8 pagi semalam, dan ini menjadikan jumlah kematian kepada 181 orang dan jumlah kes keseluruhan kepada 42,509.

    Sementara itu, Profesor Halimur Rashid dari Program Kawalan Penyakit Berjangkit DGHS berkata, “kematian paling tinggi berlaku dalam kalangan pesakit berumur antara 20 hingga 30 tahun iaitu mencatat 19 kes, diikuti kumpulan umur 0 hingga 10 tahun dan 40 hingga 50 tahun yang masing-masing mencatat 16 kes dan daripada jumlah tersebut, 53 peratus adalah lelaki manakala selebihnya wanita”.

    Menurut seorang pegawai DGHS yang enggan dikenali, mereka yang berumur 20 hingga 30 tahun mencatat kematian tertinggi kerana mereka lebih aktif di luar rumah dan kurang berhati-hati semasa peringkat awal demam.

    DGHS telah mengumpul alamat 111 pesakit denggi yang meninggal dunia, dan daripada jumlah itu, Dhaka mencatat jumlah kematian tertinggi iaitu 17, diikuti Barguna sebanyak 12, dan Narayanganj sebanyak 8 kematian.

    Hospital Kolej Perubatan Dhaka turut mencatat kematian pesakit tertinggi iaitu 33, diikuti Hospital Am Kurmitola, 14 kematian dan Hospital Kolej Perubatan Rajshahi sebanyak 12 kematian, menurut Profesor Halimur.

    Gambar fail

    Sementara itu, 66 pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam selepas dimasukkan ke hospital, 18 dalam tempoh 48 jam, lima dalam tempoh 72 jam, dan 25 selepas 72 jam, tambah beliau.

    Seramai 47 pesakit dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam selama 3 hingga 6 hari, 25 pesakit selepas 6 hingga 10 hari, dan 16 pesakit selepas 9 hari atau lebih.

    Hanya 21 pesakit dimasukkan dalam tempoh yang disarankan, iaitu antara satu hingga tiga hari selepas demam, katanya, dan purata tempoh tinggal di hospital adalah sekitar 2.5 hari.

    Daripada 90 pesakit yang mempunyai maklumat mengenai keadaan kesihatan sebelumnya, 39 mempunyai komorbiditi.

    Sekurang-kurangnya 56 pesakit meninggal dunia akibat DSS, manakala 36 lagi disebabkan Sindrom Denggi Lanjutan (Expanded Dengue Syndrome, EDS).

    Katanya lagi, “kadar kematian akibat denggi kini berada pada 0.42 peratus, masih lebih rendah berbanding 0.57 peratus pada tahun lalu”.

    Merujuk kepada jumlah kes dan kematian tahun 2024, Profesor Abu Jafor turut menjangkakan peningkatan kes pada bulan September.

    Beliau berkata bahawa peranan Kementerian Kerajaan Tempatan sangat penting dalam mengawal pembiakan nyamuk dan mengurangkan kes denggi di mana sedang bekerjasama dengan mereka, tetapi mungkin terdapat sedikit kelemahan dalam koordinasi.

    Katanya lagi, “walaupun terdapat kekurangan kakitangan kesihatan, pihaknya telah menggerakkan doktor tambahan ke kawasan yang paling memerlukan, seperti Barguna”.

    Apabila ditanya sama ada hospital di peringkat daerah dan upazila cukup bersedia untuk menangani kes denggi, memandangkan ramai pesakit datang ke Dhaka untuk rawatan, beliau mendakwa hospital-hospital berkenaan telah bersedia.

    Manakala, Pengarah (Hospital) DGHS, Abu Hussain Md Moinul Ahsan pula berkata, “pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada semua hospital kerajaan untuk menubuhkan wad dan pasukan perubatan khusus bagi menangani kes denggi serta memastikan rawatan yang lebih baik”.

    Tambahnya, hospital juga telah dilengkapi dengan kit ujian dan cecair yang mencukupi untuk pesakit denggi.

    “Kami sentiasa mengemas kini protokol rawatan denggi dan melatih doktor serta jururawat mengikut keperluan,” jelasnya.

    Moinul menambah bahawa pihaknya sedang menyiasat kematian seorang pesakit denggi di sebuah hospital swasta di Chattogram walaupun pesakit itu dirawat dalam jangka masa yang panjang, ia satu keadaan yang luar biasa.

    Dua Timbalan Ketua Pengarah DGHS, Prof Khair Ahmed Choudhury dan Prof Sheikh Sayidul Haque, turut hadir dalam taklimat media tersebut. – ANN/The Daily Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda