SINGAPURA, 26 MAC – Kematian di tempat kerja di Singapura meningkat kepada 43 kes pada 2024 berbanding 36 kes pada 2023, menandakan keperluan bagi semua pihak berkepentingan untuk terus berwaspada dan mengutamakan keselamatan serta kesihatan pekerja, menurut kenyataan Kementerian Tenaga Manusia hari ini, lapor Xinhua.
Sebanyak 587 kecederaan serius di tempat kerja turut direkodkan sepanjang tahun ini.
Meskipun sektor pembinaan dan pembuatan mencatatkan penurunan kadar kecederaan, kedua-duanya kekal sebagai penyumbang utama kepada kematian dan kecederaan serius di tempat kerja, dengan masing-masing me-rekodkan 166 dan 125 kes.
Industri marin, meskipun mempunyai tenaga kerja yang lebih rendah, mencatatkan kadar kematian dan kecederaan serius tertinggi sejak 2018, iaitu 35.8 kes bagi setiap 100,000 pekerja.
Empat daripada lima kematian dalam sektor itu melibatkan kerja di pelabuhan, manakala dua lagi berkaitan operasi menyelam yang menunjukkan kecuaian sistemik dalam aspek keselamatan.
Walaupun berlaku peningkatan jumlah kematian di tempat kerja, Singapura mengekalkan purata kadar kematian di tempat kerja selama lima tahun pada 1.1 bagi setiap 100,000 pekerja, yang diklasifikasikan sebagai ‘antara yang terbaik di peringkat global’, menurut kementerian itu.
Sepanjang 2024, pihak berkuasa menjalankan lebih 17,000 pemeriksaan dengan memberi tumpuan kepada industri berisiko tinggi seperti pembinaan, pembuatan dan marin.
Selain pemeriksaan keselamatan umum, pemeriksaan khas turut dijalankan di kawasan tumpuan bagi meningkatkan pematuhan terhadap peraturan keselamatan. – Bernama
