ADDIS ABABA, 30 JUN – Tiga orang terbunuh dan yang lain cedera parah apabila bantahan meletus di Habsyah hari ini selepas seorang penyanyi terkenal dari kumpulan etnik terbesar negara ditembak mati, kata seorang doktor.
Pergolakan itu, yang mendorong kerajaan menutup internet di ibu negara, memaparkan pergolakan etnik yang mengancam peralihan kerajaan demokratik Habsyah, diselia oleh Perdana Menteri Abiy Ahmed, pemenang Hadiah Keamanan Nobel pada tahun lalu.
Hachalu Hundessa, terkenal dengan lagu politik, dilihat sebagai suara penduduk Oromo semasa bantahan antikerajaan yang mendorong Abiy menerajui tampuk pentadbiran pada 2018.
Beliau ditembak malam semalam di Addis Ababa, lapor Penyiaran Korporat FANA.
Pada pagi ini, sekumpulan besar pembantah membanjiri ibu negara dari kawasan Oromia, menyekat lalu lintas dan melumpuhkan aktiviti di bandar.
Keganasan juga meletus di bandar Adama, dengan mangsa melaporkan mereka ditembak oleh anggota keselamatan, kata Dr Desalegn Fekadu, doktor bedah di Hospital Adama.
“Ramai orang mengalami kecederaan, kebanyakan akibat luka tembakan. Tiga pesakit meninggal dunia dan masih terdapat pesakit kritikal,” beritahunya kepada AFP.
“Terdapat juga lebih 10 orang pesakit dengan luka bakar. Mereka berkata rumah mereka dibakar.”
Motif pembunuhan penyanyi masih tidak jelas tetapi polis telah menahan ‘beberapa suspek,’ beritahu pesuruhjaya polis Addis Ababa Getu Argaw kepada FANA. – AFP