KATHMANDU, 15 MEI – Seorang pendaki dari Filipina disahkan meninggal dunia di Gunung Everest, menjadikannya korban pertama musim pendakian tahun ini di puncak tertinggi dunia.
Menurut pegawai Jabatan Pelancongan Nepal, Himal Gautam, mangsa, Phillipp Santiago, 45, keletihan ketika tiba di kem terakhir (Kem 4) semalam, ketika bersiap untuk mendaki ke puncak setinggi 8,849 meter itu.
“Beliau meninggal dunia di tempat beliau berehat,” kata Bodha Raj Bhandari daripada agensi Snowy Horizon Treks and Expedition yang mengatur pendakian Santiago.
Pihak penganjur kini sedang berunding bagi membawa turun mayat ke kem induk.
Seramai lapan pendaki Nepal telah berjaya sampai ke puncak Everest pada 9 Mei lalu, menandakan permulaan rasmi musim pendakian tahun ini yang berlangsung dari April hingga awal Jun.
Lebih 50 pendaki telah menawan puncak sejak laluan dibuka, mengambil peluang ketika cuaca baik. Setakat ini, Nepal telah mengeluarkan 458 permit kepada pendaki, yang kebiasaannya ditemani sekurang-kurangnya seorang pemandu dari Nepal.
Kawasan kaki gunung kini dipenuhi lebih seribu orang, termasuk pendaki asing dan kakitangan sokongan, dengan khemah-khemah didirikan sepanjang kem.
Kesesakan semakin menjadi isu di Everest, seperti yang berlaku pada 2019 apabila ‘kesesakan manusia’ memaksa pasukan pendaki menunggu berjam-jam di puncak dalam suhu beku, berisiko mengalami kekurangan oksigen yang boleh menyebabkan penyakit dan keletihan. Empat daripada 11 kematian ketika itu dikaitkan dengan kesesakan.
Nepal menempatkan lapan daripada 10 puncak tertinggi dunia dan menerima ratusan pendaki setiap musim bunga, ketika suhu lebih panas dan angin lebih tenang.
Tahun lalu, lebih 800 pendaki berjaya menawan puncak Everest, termasuk 74 dari bahagian utara Tibet.
Sejak pendakian bersejarah oleh Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay Sherpa pada 1953, aktiviti pendakian telah menjadi industri yang menguntungkan. – AFP
