Oleh Ak Zaki Kasharan
Setelah berehat hampir tiga tahun akibat penularan COVID-19 di seluruh dunia, Melissa Woo, pelari jarak jauh negara kini menarik nafas lega kerana dapat kembali aktif menyertai pelbagai acara dan pertandingan sama ada di dalam mahupun luar negara.
Lebih gemar dirinya disapa Mel, wanita lasak ini kembali bergiat aktif dengan menyertai acara The Most Beautiful Thing (TMBT 2022) yang diadakan di Kota Kinabalu Sabah, Malaysia, bulan September lalu.
Semasa diwawancara oleh wartawan Media Permata, Mel mengaku agak susah baginya untuk menamatkan lariannya kali ini disebabkan kekurangan latihan dan persiapan dalam acara tersebut.
Walau bagaimanapun beliau tetap berasa teruja memandangkan ia adalah acara pertama yang disertainya di luar negara sejak COVID melanda.
“Latihan adalah sukar semasa pandemik kerana keadaan tidak mengizinkan untuk menjalani latihan dan senaman, sebab itu susah untuk mengekalkan stamina dan daya ketahanan. Kami hanya berlari di sekeliling rumah dan kadangkala menjalani senaman dalam talian bersama rakan-rakan,” jelas Mel.
Mel yang bertugas di salah sebuah syarikat swasta mula bergiat aktif dalam dunia larian sejak beliau berusia 35 tahun, iaitu kira-kira 11 tahun yang lalu. Beliau pernah mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa, termasuk acara maraton 21 kilometer pada 2011, Penang Bridge International Marathon dan Borneo International Marathon pada tahun 2014.
Sementara itu, acara larian tempatan yang pernah disertainya adalah pertandingan larian yang dianjurkan oleh Bank Standard Chartered sejauh 21 kilometer pada tahun 2013.
Pencapaian paling manis bagi dirinya adalah apabila dia berjaya mencipta sejarah menjadi wanita Brunei pertama yang menamatkan larian sejauh 100 kilometer (km) dalam acara Trail Running pada tahun 2014.
Bukan itu sahaja, Mel juga berjaya meraih beberapa pencapaian cemerlang di dalam dan luar negara, antaranya acara Ultra Trail Panaromic – 100 batu pada tahun 2019 di Thailand, Singha Ultra-Trail Chiang Rai – 124km (2019) Thailand, TMBT – 100km di Malaysia sebanyak 10 kali sejak tahun 2014, Four Lakes-King of Mountain – 100km (2017) di Filipina, Cultra – Cameron Ultral Trail Marathon – 100km (2018) di Malaysia dan Gopeng Ultra Trail – 100km (2019) di Malaysia.
Antara pembakar semangat dan sumber inspirasi terbesar bagi dirinya untuk terus terlibat dalam bidang larian selama ini ialah ahli keluarganya. Beliau juga memberikan komitmen yang terbaik dalam segala aktiviti yang dilakukan selain bekerja keras tanpa mengabaikan tabiat pemakanan dan kesihatan yang sihat.
“Pasukan saya (SVR) juga banyak memberikan sokongan. Mereka menggalakkan saya dan membantu saya semasa latihan dan semasa acara,” tambah Mel.
Menurutnya lagi, bukan mudah untuk menyertai larian jarak jauh kerana ia mencabar ketahanan tubuh badan terutamanya bagi wanita yang sudah menginjak usia lebih 45 tahun.
Berkongsi mengenai pengalamannya semasa menyertai acara-acara larian, Mel berkata bahawa setiap acara yang disertainya pasti membawa pengalaman yang berbeza-beza, pahit mahupun manis.
“Acara pertama saya pada tahun 2014 adalah yang paling sukar memandangkan saya tidak mempunyai sebarang pengalaman.
“Badan saya sakit sepanjang minggu dan saya memberitahu diri saya bahawa saya tidak akan melakukan Ultra 100 kilometer lagi setelah itu kerana ia terlalu menyakitkan.
“Namun pada minggu hadapannya setelah rasa sakit sudah mulai hilang, saya pergi untuk mendaftarkan diri bagi menyertai acara yang lain lagi,” ujar Mel sambil ketawa.
Dalam salah satu acara yang diikutinya, Mel juga pernah mengalami kecederaan akibat terjatuh yang menyebabkan dirinya sukar untuk berjalan. Namun berbekalkan semangat cekal, beliau berjaya menamatkan lariannya.
Mengulas mengenai persiapannya pula, Mel mengongsikan bahawa dia memulakan latihannya pada pagi sebelum waktu bekerja bermula dan akan menyambung latihan larian pada hujung minggu.
Beliau pada ketika ini sedang merancang untuk menyertai lebih banyak acara larian pada masa akan datang.
Bagi mereka yang berminat menceburi aktiviti larian sepertinya, beliau menasihatkan agar mereka memulakan latihan kekuatan untuk membina stamina. Ilmu mengenai teknik larian dan pelan latihan juga penting untuk digabungkan dalam rutin harian, selain mendapatkan motivasi dan sokongan daripada rakan-rakan lain.