SHANGHAI, 3 OKT – Pemain nombor enam, Ben Shelton, yang kembali beraksi selepas cedera bahu kiri di Terbuka Amerika Syarikat (AS), tewas 6-2, 6-4 kepada David Goffin dalam pusingan kedua Shanghai Masters, hari ini.
Goffin memecahkan servis Shelton tidak lama selepas perlawanan disambung semula selepas penggantungan seketika akibat hujan.
Awal minggu ini, Shelton berkata, meskipun berehat selama lima minggu, dia masih berharap untuk layak ke ATP Finals di Turin, Itali bermula 9 November.
Shelton kini berada di tangga keenam dalam perlumbaan mata untuk Turin, dengan lapan pemain teratas layak ke peringkat akhir, namun, kekalahan hari ini telah menjejaskan peluangnya.
“Ini merupakan pertama kali saya berada dalam kedudukan baik pada waktu ini dalam tahun untuk layak ke Turin,” kata Shelton kepada laman web ATP Tour minggu ini sebelum perlawanan menentang Goffin.
“Harapnya saya dapat beberapa keputusan baik lagi untuk melepasi garis penamat.”
Dalam perlawanan pusingan kedua lain, pemain Amerika Frances Tiafoe, pilihan ke-25, tewas 6-7 (9), 6-2, 6-1 kepada pemain Jerman Yannick Hanfmann.
Semua pemain pilihan utama di Shanghai menerima kelepasan pusingan pertama. Novak Djokovic (nombor 4) dan Taylor Fritz (nombor lima) dijadual beraksi kemudian pada Jumaat.
Di samping itu, juara Terbuka China di Beijing, Jannik Sinner, pada Rabu, telah dijadualkan untuk beraksi esok, manakala pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz, yang menewaskan Fritz di final Terbuka Jepun, mengumumkan selepas kemenangan di Tokyo, beliau tidak akan beraksi di Shanghai kerana mengalami sedikit masalah kesihatan. – AP


