DAMSYIK, 3 SEPT – Hampir empat juta pelajar Syria di kawasan yang dikawal oleh kerajaan kembali ke sekolah hari ini, mengharungi kesan perang, gempa bumi yang dahsyat dan krisis ekonomi yang mendalam.
Namun, kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai bilik darjah untuk pergi dalam sebuah negara di mana banyak kemudahan pendidikan telah rosak dan 90 peratus penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kementerian pendidikan Syria kelmarin menggesa sekolah ‘untuk tidak menguatkuasakan peraturan pakaian seragam sekolah yang ketat… dan mengurangkan bekalan yang diperlukan’ untuk pelajar, lapor agensi berita kebangsaan SANA.
“Langkah-langkah ini diperkenalkan berdasarkan keadaan ekonomi sukar yang dihadapi negara ini dan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan beban kewangan pada penduduk,” kata SANA.
“Lebih daripada 3.7 juta pelajar memulakan tahun akademik 2023-2024, merangkumi 14,505 sekolah,” tambah agensi itu.
Sejak 2011, Syria telah menghadapi konflik berdarah yang telah meragut lebih setengah juta nyawa, menyebabkan beberapa juta orang kehilangan tempat tinggal dan menjerumuskan negara itu ke dalam krisis ekonomi yang sangat teruk.
Kemusnahan infrastruktur yang meluas akibat perang telah memberi kesan besar terutamanya terhadap kemudahan pendidikan, dengan banyak sekolah musnah dan yang lain-lain bertukar menjadi tempat perlindungan.
“Malah sebelum gempa bumi Februari 2023, kira-kira satu daripada tiga sekolah masih tidak beroperasi,” kata laporan baru-baru ini dari agensi kanak-kanak PBB. Satu pertiga daripada semua kanak-kanak yang bersekolah, iaitu hampir 2.4 juta orang, tidak menghadiri sekolah dan 1.6 juta lagi berisiko tercicir, menurut laporan itu. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/09/P12-3A-web-AP_04092023.jpg)