Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembali semula ke Chernobyl selepas 32 tahun

    PRIPYAT – Natalia Shevchuk merenung keadaan sebuah dinding yang mengelupas di dalam sebuah flat yang pernah menjadi kediamannya pada satu ketika dahulu dan kelihatan air mata Natalia jatuh berlinangan.

    Selepas 32 tahun peristiwa Chernobyl, akhirnya dia berpeluang untuk mengunjungi kediaman zaman kanak-kanaknya itu yang mana kini dipanggil sebagai bandar berhantu, Pripyat.

    “Silakan masuk ke dalam, ini adalah apartmen nombor tiga, kami tinggal di sini sehinggalah pada tahun 1986,” kata Natalia sambil mengimbau kembali kenangan lalu di mana dia berusia 18 tahun ketika meninggalkan flat tersebut.

    Sekarang, dia sudah berusia 50 tahun dan dunianya telah berubah sekelip mata ketika peristiwa yang berlaku pada 26 April 1986 itu di mana reaktor kuasa nuklear di Chernobyl telah meletup sekali gus membawa awan radioaktif ke beberapa buah negara di benua Eropah. Kesemua penduduk di Pripyat yang mana pernah dihuni sekitar 50,000 penduduk terletak hanya dua kilometer dari stesen itu dan kebanyakannya terdiri daripada para pekerja telah diarahkan untuk meninggalkan kediaman mereka selepas sehari bencana Chernobyl itu berlaku.

    Ibu bapa Shevchuk dan juga kakaknya adalah antara mereka yang telah meninggalkan kediaman mereka, di mana ketika itu Natalia berada di Kiev. Di sebuah almari rak buku, kelihatan beberapa buah buku milik keluarga Natalia tersusun kemas dan dipenuhi dengan kotoran dan berdebu selepas ditinggalkan beberapa dekad.

    Natalia bersama suaminya menghabiskan masa sehari mengelilingi Chernobyl. – AFP
    Sekarang, Natalia sudah berusia 50 tahun dan dunianya telah berubah sekelip mata selepas reaktor kuasa nuklear di Chernobyl telah meletup pada 26 April 1986, sekali gus membawa awan radioaktif ke beberapa buah negara di benua Eropah. – AFP
    Tragedi yang berlaku di Chernobyl itu telah mencemari udara dengan bahan radioaktif yang berbahaya namun keadaan bencana itu telah diselindungi oleh pihak berkuasa Soviet. – AFP

    “Buku-buku ini telah dibeli oleh ibu saya,” kata Natalia kepada media.

    Selain itu, Natalia juga berkesempatan menunjukkan sebuah buku berwarna kuning yang bertajuk ‘Ulyanovs’ yang mengisahkan mengenai keluarga Vladimir Llyich Ulyanov, ketua revolusi Rusia yang lebih dikenali sebagai Lenin dan selepas itu, Natalia terus menangis. Tragedi yang berlaku di Chernobyl itu telah meracun keadaan udara dengan bahan radioaktif yang berbahaya namun keadaan bencana itu telah disembunyikan oleh pihak berkuasa Soviet.

    Mikhail Gorbachev, ketua wilayah Soviet, tidak memberikan sebarang penyataan mengenai situasi itu sehinggalah pada 14 Mei, selepas dua minggu bencana itu berlaku.

    Akhirnya, hampir 350,000 penduduk yang tinggal berdekatan diarah untuk meninggalkan kediaman mereka namun terdapat juga sekitar 150 penduduk warga emas kembali semula ke rumah mereka walaupun terdapat arahan untuk mengosongkan kediaman mereka.

    “Ia merupakan situasi yang sukar buat mereka. Ibu bapa saya tidak dapat menerima akan hakikat yang berlaku dan bertekad untuk tidak kembali lagi ke situ,” kata Shevchuk lagi kepada media.

    Ayah Natalia kembali semula ke kawasan itu untuk menolong operasi pembersihan selepas beberapa tahun bencana itu namun sebagaimana penduduk-penduduk yang lain, mereka masih dilarang untuk kembali semula ke rumah mereka.

    Bencana nuklear paling teruk

    Setelah sekian lama, Shevchuk, yang mana kini tinggal di Kiev, masih belum bersedia dari segi mental untuk kembali semula ke Pripyat dan melihat akan keadaan bandar itu.

    “Saya tertanya apakah kesan radiasi terhadap kesihatan saya sebab saya ada anak untuk dibesarkan jika berkunjung ke bandar itu namun pada tahun ini, saya mula menyedari bahawa saya perlu pergi melawat bandar itu kerana kebanyakan bangunan sudah mula runtuh dan memburuk,” kata Natalia lagi kepada media.

    Kebanyakan bangunan yang semakin mereput di bandar itu memaparkan simbol terhadap kesan bencana nuklear. Beberapa buah flat berdiri megah dengan kebanyakan jendela pecah, jalan raya dipenuhi dengan lumut dan tumbuh-tumbuhan memenuhi di kawasan blok kejiranan sehingga hampir sukar untuk dikenal pasti.

    Sebaik sahaja peralatan mengesan udara radiasi berbunyi yang menandakan tahap radiasi yang tinggi, Natalia terus menelusuri situasi itu dan menggunakan GPS untuk mencari alamat yang dicarinya, 30 Lesya Ukrainka Street.

    “Kita sudah berada di sini,” Natalia berhenti dan tercungap-cungap.

    Natalia bersama dengan suaminya telah mengelilingi bandar itu sehari.

    “Adakah anda rasa saya perlu masuk ke dalam?,” tanyanya. Pihak berkuasa yang menguasai kawasan itu melarang keras para pengunjung untuk memasuki setiap bangunan kerana dikhuatiri akan roboh namun mereka masih dapat masuk ke ruang pintu utama.

    “Lihat, ini adalah senarai nama-nama yang menetap di bangunan ini, Shevchuk, apartmen nombor tiga, itu nama keluarga saya,” teriak Natalia.

    Sambil bergerak laju, dia kini sudah sampai di depan pintu apartmen lamanya yang terletak di tingkat bawah sekali. Pintu depan apartmen keluarganya itu sudah terbuka dan Natalia segera masuk ke dalam.

    “Ia sangat kecil namun sebenarnya ia adalah satu ruang yang besar,” kata Natalia sambil melihat keadaan sekeliling. Manakala suaminya pula, Volodymyr, merakam detik-detik itu dan memperlihatkan kepada anak-anak mereka nanti. “Dia telah menanamkan impian dan detik itu sekian lama dan saya berkata, ‘jom kita pergi,’” kata Volodymyr kepada media.

    Kemudian, selepas Natalia mendapat ketenangan dan keselesaan diri, dia berkata, “Saya tidak menyangka untuk datang ke sini. Saya telah memperoleh apa yang telah hilang, sekurang-kurangnya sebahagian kecil memori kecil saya,” tambah Natalia sedih.

    “Ia merupakan satu situasi yang mengejutkan namun sekarang saya sudah memenuhi tugasan saya terhadap apartmen dan bandar yang pernah saya cintai satu ketika dahulu,” tambah Natalia lagi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda