Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembalikan hukuman mati 6 pesalah dalam kes buli

    PUTRAJAYA, 24 JULAI – Mahkamah Rayuan telah menghantar enam bekas kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ke tali gantung atas tuduhan membunuh rakan kadet, Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

    Ini berikutan pengembalian semula Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap enam pesalah: Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

    Hakim Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim, menyifatkan jenayah yang dilakukan terhadap Zulfarhan, yang dicap dengan besi panas di seluruh badannya termasuk alat sulitnya sebagai kes yang ‘mengejutkan dan jarang berlaku’.

    “Kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa cara pembunuhan itu dilakukan ‘mengejutkan bukan sahaja hati nurani kehakiman tetapi juga hati nurani kolektif masyarakat. Kes ini adalah yang paling jarang berlaku yang melibatkan jenayah kejam. Kezaliman seperti itu mesti dihentikan,” katanya.

    Hakim juga bercakap tentang perasaan ibu bapa Zulfarhan apabila mayat anak mereka dalam keadaan yang teruk dikembalikan kepada mereka.

     “Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana mereka pasti musnah apabila melihat anak mereka diperlakukan sedemikian,” katanya di sini pada Selasa.

    Hakim Hadhariah, yang menghabiskan lebih tiga jam membaca penghakiman setebal 93 muka surat itu, kemudian menyeru keenam-enam tertuduh berdiri sebelum menjatuhkan hukuman itu.

     “Oleh itu kami sebulat suara memutuskan bahawa hanya akan ada satu hukuman untuk kesemua enam tertuduh, di mana kesemua mereka akan dibawa ke tali gantung di mana mereka akan digantung sampai mati,” katanya.

    Hakim-hakim lain di mahkamah itu ialah Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Azmi Ariffin.

    Panel itu sebelum ini membenarkan rayuan terhadap hukuman oleh pihak pendakwaan dan mengembalikan semula Seksyen 302 terhadap keenam-enam mereka kerana mendapati hakim perbicaraan telah tersilap apabila mengurangkan pertuduhan.

    Lima tertuduh pertama pada mulanya didakwa membunuh mengikut Seksyen 302 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu mengikut Seksyen 109, yang membawa hukuman sama.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudiannya meminda pertuduhan kepada Seksyen 304(a) dan mensabitkan mereka pada 2 Nov 2021, kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat untuk membunuhnya.

    Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan, jika perbuatan itu dilakukan dengan niat menyebabkan kematian.

    Bekas pelajar yang kesemuanya berusia 28 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di blok Asrama Jebat, UPNM, antara jam 4.45 pagi hingga jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017. Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – ANN/The Star

    Zulfarhan yang disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.- ANN/The Star
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda