Dulu, suasana Aidilfitri benar-benar meriah di mana sanak saudara, rakan taulan dan jiran tetangga hadir bertandang tanpa perlu menunggu jemputan rasmi atau acara rumah terbuka.
Rumah terbuka? Istilah itu hampir tidak wujud dalam kamus raya suatu ketika dahulu.
Namun kini, budaya ‘langgar’ itu kian pudar. Segalanya berubah. Ziarah hanya berlaku jika tuan rumah menjemput secara rasmi.
Jika tiada jemputan, rumah kekal sunyi meskipun pintunya terbuka luas.
Seolah-olah sambutan raya hanya sah bila disertakan poster dan hantaran WhatsApp bertulis ‘jemput datang ke rumah terbuka kami’.
Mengapa perlu tunggu jemputan rumah terbuka, baru mahu beraya?
Tiada salahnya jika kita kembali kepada raya seperti dahulu menziarahi, bertanya khabar dan menjalin silaturahim tanpa menunggu panggilan atau jemputan.
Bukan jamuan yang menjadi tujuan utama, tetapi kehangatan pertemuan yang menyatukan hati.
Sebagai individu, mulakan langkah kecil, ziarahlah tanpa menunggu undangan, bawa buah tangan tanda ingatan dan ajak anak-anak mengenal erti silaturahim.
Jangan biarkan teknologi mengasingkan kita daripada nilai kekeluargaan yang sebenar.
Mohd Nazif
