Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sebagai usaha berterusan untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan Rakan Seliaan (RS) dalam pembuatan pelbagai jenis kuih, Aftercare Support Association (AFSA) mengadakan Bengkel Fasa 2, Kemahiran Pembuatan Roti Canai yang berlangsung di Ibu Pejabat AFSA, Jalan Kebangsaan, kelmarin.
Bengkel itu dihasratkan untuk mengembangkan kemahiran dalam pembuatan roti nan, pori dan canai dan seterusnya tatacara pembuatan produk beku bagi peserta-peserta RS.
Bengkel dikendalikan oleh tenaga pengajar, Haji Wan Rosli bin Wan Haji Ibrahim dari ILMAR Enterprise, Rakan Strategik AFSA yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada AFSA.
Jawatan Tertinggi AFSA sentiasa memberikan sokongan dan komitmen yang berterusan dalam usaha menyantuni RS supaya mereka dapat menjadi golongan masyarakat yang mandiri.
Turut hadir semasa bengkel berkenaan ialah Yang Di-Pertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya; Timbalan Yang Di-Pertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri; Setiausaha AFSA, Haji Mahali bin Haji Hassan dan Kaunselor AFSA, Awang Nur Farzana bin Omar Ali.
Menurut Haji Mustapa, RS yang menyertai bengkel berkenaan akan menjadi mentor kepada ahli-ahli RS yang lain kelak di mana segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari akan dikongsi kepada RS yang lain.
Mereka memiliki keupayaan, kesungguhan dan komitmen yang tinggi dalam mempelajari dan menguasai kemahiran pelbagai jenis pembuatan roti, ulasnya lagi.



