Saturday, February 8, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembang potensi pelajar istimewa menerusi Hafazan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan MOE

    Dalam memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar istimewa terlibat dalam aktiviti keagamaan, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas telah mengambil langkah ke hadapan dengan mengadakan Pertandingan Hafazan Ayat-ayat Al-Quran khusus bagi Pelajar-pelajar Berkeperluan Khas.

    Pertandingan yang dikhususkan untuk pelajar dari sekolah-sekolah rendah kerajaan senegara yang berlangsung di Dewan Persidangan Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie itu adalah bersempena dengan bulan Ramadan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam.

    Pertandingan telah disertai oleh 21 pelajar berkeperluan khas dalam kategori Priority Level (PL) 1 hingga Priority Level (PL) 4 peringkat rendah atas seluruh negara di mana enam orang pelajar lelaki dan enam orang pelajar perempuan telah layak untuk bertanding di peringkat akhir.

    Pemangku Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan selaku pengerusi pertandingan dalam ucapannya antara lain menjelaskan, Jabatan Pendidikan Khas sebelum ini telah menganjurkan beberapa pertandingan hafazan dan ayat-ayat lazim khusus bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas di peringkat sekolah menengah.

    Yang Berhormat Hajah Safiah bergambar ramai bersama para peserta dan ahli jawatankuasa pertandingan serta para tetamu yang lain.
    Awang Muhammad Iqbal menjadi johan pertandingan dalam Kategori Lelaki.
    Dayang Nurul Basyirah Sajidah menjadi johan pertandingan tersebut dalam Kategori Perempuan.
    Salah seorang peserta ketika pertandingan hafazan ayat-ayat Al-Quran dilangsungkan.

    “Menerusi pertandingan itu, ia telah berjaya memberi ruang kepada beberapa pelajar-pelajar berkeperluan khas untuk mengikuti Skim Hafazan di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah,” katanya lagi.

    Selain memfokuskan pembelajaran dalam kemahiran asas pelajar-pelajar berkeperluan khas, Jabatan Pendidikan Khas juga kini giat aktif mengenal pasti sebarang aktiviti-aktiviti luar bilik darjah atau ko-kurikulum sebagai usaha berterusan mempromosi pendidikan inklusif.

    Di samping itu, pertandingan tersebut juga membantu memberi ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas untuk mengembangkan potensi mereka secara maksimal melalui perkembangan sahsiah pelajar khususnya dalam tuntutan rohani.

    Beliau juga turut mengongsikan bahawa antara lain tujuan pertandingan hafazan bagi pelajar berkeperluan khas peringkat sekolah rendah itu diadakan adalah untuk menggalakkan pelajar-pelajar berkeperluan khas sentiasa membaca Al-Quran, menghafaz, serta memahami maksud isi kandungan ayat-ayat suci Al-Quran.

    “Di samping mencungkil bakat pelajar-pelajar dalam membaca dan menghafaz Al-Quran sekali gus melahirkan generasi pelajar yang berlumba-lumba mencari ilmu daripada sumber Al-Quran,” tambahnya.

    Pertandingan itu telah menyaksikan johan pertandingan telah disandang oleh Awang Muhammad Iqbal bin Awang Shahiman dari Sekolah Rendah Kapok bagi Kategori Lelaki dan Dayang Nurul Basyirah Sajidah binti Awang Abdul Rahim dari Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 bagi Kategori Perempuan.

    Manakala naib johan pertandingan disandang Awang Izzaki bin Awang Zoollhsan dari Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 bagi Kategori Lelaki, manakala Dayang Nurul Izzaty binti Awang Mehalan dari Sekolah Rendah Pangkalan Batu bagi Kategori Perempuan.

    Sementara tempat ketiga pula disandang oleh Awang Muhammad Nur Azim Muslihuddin bin Awang Attaman dari Sekolah Rendah Pantai Berakas, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi Kategori Lelaki dan Dayangku Nur Amalina Rashidah binti Pengiran Abdul Rashid dari Sekolah Rendah Katok B bagi Kategori Perempuan.

    Pertandingan yang diadakan buat julung kalinya di peringkat sekolah rendah kerajaan dengan tujuan untuk menggalakkan para pelajar berkeperluan khas dengan pembacaan ayat-ayat Al-Quran sebagai sebahagian rutin harian mereka.

    Di samping itu, ia juga menyokong amalan Pendidikan Inklusif, khususnya prinsip ‘APA’ iaitu dengan memastikan pelajar-pelajar sentiasa diberi peluang (Access) untuk menyertai (Participate) dan menguasai (Achieve) bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

    Turut hadir di pertandingan tersebut ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pemimpin sekolah, pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Khas serta para ibu bapa dan penjaga.

    Pertandingan juga diserikan lagi dengan persembahan nasyid bertajuk ‘Erti Al-Fatihah’ oleh 13 orang pelajar berkeperluan khas dari Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda