Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan profesional serta berkebolehan dalam kalangan anak-anak tempatan, Brunei LNG Sdn Bhd hari ini menandatangani kontrak dengan 23 orang siswazah pada majlis yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Brunei, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penandatanganan Kontrak bagi Skim Kemajuan Kejuruteraan Juruteknik Siswazah (ETPS), Skim Kemajuan Juruteknik Operatif (OTPS) dan Kontrak Graduan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib, pengarah-pengarah urusan Syarikat-Syarikat Usahasama Brunei Shell (BSJV), pengurus besar Brunei Liaison Office Mitsubishi Corporation serta perwakilan daripada pihak pengurusan Brunei LNG, Kementerian Tenaga, Pihak Berkuasa Petroleum dan Darussalam Assets.
Menandatangani kontrak-kontrak tersebut ialah Hajah Farida dan para siswazah yang akan menjalani program pengembangan siswazah selama tiga tahun terdiri daripada 10 juruteknik kejuruteraan, sembilan juruteknik operasi dan empat orang graduan.
Ketiga-tiga program ini dirancang untuk direka bagi memberikan gabungan pembelajaran on-the-job dan teori yang dihasratkan dapat melahirkan pekerja kompeten, profesional serta sebagai sebahagian usaha Brunei LNG mengembangkan bakat dan kebolehan anak-anak tempatan.
Hajah Farida dalam ucapan pembukaan majlis, menekankan bahawa majlis penandatanganan itu adalah ikrar mereka ke arah memperkukuh Wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam melalui pencapaian pendidikan rakyatnya.
Beliau menambah, aspirasi negara untuk mencapai status negara maju bergantung pada asetnya yang paling berharga daripada modal insan berpendidikan, berkemahiran dan berprestasi tinggi. Sehubungan itu, skim program siswazah dan juruteknik itu akan mendukung aspirasi negara mengembangkan tenaga kerja yang produktif yang siap sedia memenuhi keperluan tenaga negara.
Majlis diakhiri dengan pertunjukan nitrogen oleh pasukan makmal Brunei LNG dan lawatan galeri yang menampilkan gambaran keseluruhan pencapaian Brunei LNG serta Kerangka Pembangunan Brunei LNG yang berbeza untuk graduan, kejuruteraan juruteknik dan juruteknik operasi.

