Kembangkan penerokaan produk halal ke Jepun

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Syarikat Malaysia diminta merebut peluang ke atas permintaan produk halal yang tinggi di Jepun, terutama menjelang Sukan Olimpik 2020, Julai hingga Ogos tahun hadapan.

Presiden Pertubuhan Usahawan Agro Malaysia, Datuk Seri G. Gnanaraja, berkata Jepun menyasarkan kemasukan lebih 40 juta pelancong sempena penganjuran Sukan Olimpik, dengan sebahagian daripadanya terdiri daripada pelancong beragama Islam.

Justeru, dalam satu kenyataan pada Khamis, beliau menggesa usahawan tempatan memasuki pasaran halal Jepun secara agresif, khususnya segmen makanan dan minuman.

“Permintaan bertambah ketika Jepun membuat persediaan kemasukan pelancong luar yang dijangka meningkat tahun ini sehingga Sukan Olimpik nanti.

“Jepun yang memberi tumpuan untuk melonjakkan angka kemasukan pelancong ke negara itu, menyasarkan untuk memanfaatkan Sukan Olimpik Musim Panas 2020 bagi menarik sejuta pelancong beragama Islam setahun,” katanya.

Gnanaraja berkata Malaysia mempunyai ramai usahawan yang mengusahakan produk halal yang dilihat bersesuaian untuk tujuan eksport, sejajar dengan usaha untuk memastikan produk halal dari negara ini mendapat pasaran meluas di Jepun menjelang sukan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau meminta semua usahawan agar memastikan produk yang dihasilkan mampu memenuhi kriteria untuk dieksport ke luar negara.

“Sekiranya kita mahu menembusi pasaran antarabangsa, usahawan perlu melihat kembali produk mereka dan melakukan perubahan, termasuk kualiti produk, pembungkusan dan maklumat nutrisi.

“Syarikat Malaysia perlu memastikan bahawa produk mereka memenuhi keperluan persijilan dan piawaian yang ditetapkan bagi memasarkan produk halal mereka di negara itu,” katanya. – Bernama