Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Dalam usaha bagi sama-sama membantu para atlet negara khususnya dalam acara seni bela diri campuran (MMA) mengembangkan potensi dan bersaing di peringkat antarabangsa, syarikat tempatan OCDBN telah menaja seorang atlet MMA negara bagi menyertai perlawanan di luar negara.
Awang Hafiiz Ranle dan Awang Rashid Zakaria selaku rakan pengurusan OCDBN semasa ditemui Media Permata menjelaskan OCDBN bersedia menaja Awang Mohd Norhidayat Abdul bagi meneruskan karier impiannya dan bersaing di peringkat Ultimate One Championship.
Awang Mohd Norhidayat Abdul akan meninggalkan negara esok untuk berentap dalam pertarungan One Warrior Series di Singapura pada 6 Ogos depan. Awang Hafiiz berharap dengan adanya sokongan tajaan daripada OCDBN berkenaan, diharap Awang Mohd Norhidayat mendapat suntikan semangat dalam perlawanannya tersebut. Tajaan itu juga merupakan tanda sokongan OCDBN kepada atlet negara dalam arena MMA yang semakin mendapat sambutan daripada masyarakat di negara ini.
“Kami percaya dengan kebolehan yang ada pada Awang Mohd Norhidayat berdasarkan kepada prestasi beliau pada perlawanan sebelum ini,” jelas Awang Hafiiz lagi.
Selain itu, OCDBN juga akan menjadikan Awang Mohd Norhidayat sebagai duta syarikat dan bercadang untuk menaja beliau pada perlawanan seterusnya.
Sementara itu, Awang Rashid turut memberitahu bahawa antara tujuan mereka menaja Awang Mohd Norhidayat adalah bagi membantu beliau mengembangkan potensi serta kebolehannya di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat syarikat. Para peminat MMA negara boleh menyaksikan perlawanan yang dijadualkan akan berlangsung pada awal Ogos nanti melalui saluran live streaming menerusi aplikasi Facebook.
