Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Dalam usaha memperkembangkan potensi kepimpinan pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Sekolah Menengah Menglait telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Pemimpin Muda, yang berlangsung selama dua hari di dewan sekolah berkenaan.
Kursus yang berakhir hari ini tersebut diakhiri dengan majlis penyampaian sijil lantikan pemimpin muda yang disempurnakan oleh pengetua sekolah berkenaan, Awang Osman bin Rajap.
Seramai 32 orang pelajar Sekolah Menengah Menglait terlibat dalam kursus berkenaan yang terdiri daripada 15 orang pemimpin muda lelaki, 15 pemimpin muda perempuan serta seorang mentor pemimpin muda lelaki dan seorang mentor pemimpin muda perempuan.

Antara objektif kursus berkenaan ialah bagi meningkatkan keyakinan serta harga diri pemimpin muda, meningkatkan tahap kesedaran dan tanggungjawab pemimpin muda dan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam aspek kepimpinan.
Sepanjang kursus berkenaan, pelbagai aktiviti telah diaturkan antaranya aktiviti marble work, brainstorming, penerangan mengenai kepimpinan, kemahiran membuat keputusan, aktiviti berpasukan dan yang seumpamanya.
Kursus tahunan sekolah tersebut diharapkan dapat mengasah potensi pelajar untuk menjadi pemimpin masa depan, dengan adanya bimbingan, panduan dan tunjuk-ajar agar dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan untuk menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa depan.