Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kembangkan PPPBD di luar peringkat sekolah

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Sudah tiba masanya untuk persatuan pandu puteri berkembang di luar peringkat sekolah sebagai persatuan yang berasaskan komuniti, agar dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan pembangunan masyarakat dan negara.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Di-Pertua Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) bersabda sedemikian pada Mesyuarat Majlis PPPBD di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, hari ini.

    Yang Teramat Mulia turut mengingatkan, dalam merangka apa juga aktiviti jangan lupa menyerapkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dalam program berkenaan, supaya ia dapat memberikan aspirasi dan nilai kebangsaan kita sendiri.

    Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda, PPPBD telah banyak mengungkayahkan aktiviti yang menarik dan bermanfaat termasuk acara antarabangsa yang telah mendapat sambutan baik dalam kalangan Persatuan Dunia Rantau Asia Pasifik khususnya pandu puteri dan pengakap puteri.

    Walaupun begitu, sabdanya, masih lagi terdapat beberapa bidang yang boleh diterokai oleh persatuan itu ke arah memperbaiki dan meningkatkan program bagi ahlinya.

    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan mengurniakan sabda pada mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah berkenan beramah mesra. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    “Ini antaranya ialah dalam penggunaan teknologi kerana ia memainkan peranan penting dalam dunia digital pada ketika ini, di mana PPPBD perlu mengambil peluang untuk membimbing generasi muda pandu puteri ke arah mempraktikkan penggunaan teknologi selaras dengan perubahan zaman,” sabdanya.

    Terdahulu, keberangkatan Yang Teramat Mulia telah dijunjung Naib Yang Di-Pertua Sepanjang Hayat PPPBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Hajah Viviyanti binti Haji Mohd Ali.

    Hajah Viviyanti dalam sembah alu-aluannya menekankan, persatuan bertekad memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya bagi mendukung hasrat murni Yang Teramat Mulia untuk perkembangan dan kejayaan persatuan sesuai dengan arus kemajuan dunia hari ini.

    Beliau seterusnya menyembahkan, di bawah teraju kepimpinan bijaksana Yang Teramat Mulia nanti, pandu puteri akan memasuki satu era baharu yang akan diisikan dengan kegiatan yang bermanfaat khususnya untuk ahli-ahli persatuan dan masyarakat amnya.

    Antara agenda mesyuarat itu ialah pembentangan Perlembagaan PPPBD dan laporan mengenai kegiatan persatuan serta pencalonan ahli-ahli majlis sesi 2024-2029.

    Mesyuarat antara lain bertujuan untuk membentangkan laporan aktiviti-aktiviti tahunan persatuan dan melantik Ketua Pesuruhjaya PPPBD dan ahli majlis bagi sesi 2024-2029.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda