DAYTON, OHIO, 7 JULAI – Kembar siam paling tua di dunia meninggal dunia pada 4 Julai pada usia 68 tahun.
Ronnie dan Donnie Galyon, dari Beavercreek, Ohio, dilahirkan bercantum di abdomen pada 28 Oktober 1951. Pada 2014, adik-beradik itu diiktiraf menjadi kembar siam paling tua di dunia sejurus sebelum merai hari jadi ke-63 mereka.
WHIO melaporkan kedua-dua mereka meninggal dunia di rumah jagaan hospis di Dayton, kata adik mereka Jim. Koroner Daerah Montgomery berkata mereka meninggal dunia secara semula jadi.
Bermula sebagai kanak-kanak, adik-beradik itu muncul dalam karnival dan sarkas sebagai tarikan sampingan. Jim Gaylon memberitahu Mlive bahawa pendapatan mereka membantu keluarga mereka selama beberapa tahun.
TLC menyiarkan satu dokumentari mengenai kembar siam berkenaan pada 2010.
Adik-beradik itu bersara dari kerja hiburan pada 1991, dan tinggal sendirian sehingga 2010 apabila masalah kesihatan mendorong mereka berpindah dan tinggal bersama ahli keluarga.
Komuniti Dayton mengumpul dana dan membantu mengubahsuai rumah baharu mereka untuk membolehkan adik-beradik itu bergerak dalam kerusi roda khas, lapor Dayton Daily News. – AP
